Am 14/10/2026 04:44 PM

Majlis Perkhidmatan Parlimen Dijangka Beroperasi Disember Ini - Johari

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Majlis Perkhidmatan Parlimen Dijangka Beroperasi Disember Ini - Johari
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyerahkan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (kanan) pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang bakal bertindak sebagai badan induk mengawasi autonomi pentadbiran Parlimen Malaysia dijangka beroperasi sepenuhnya Disember ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata MPP antaranya akan menguruskan skim perkhidmatan, laluan kerjaya dan pentadbiran pegawai Parlimen serta mengawasi apa juga yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

“Kita berharap penubuhan MPP bermula Disember ini akan membolehkan Parlimen memartabatkan kembali prinsip pengasingan kuasa dan memperkukuh demokrasi negara mengikut mandat Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas majlis peralihan pentadbiran dan reformasi institusi Parlimen Malaysia di sini hari ini.

Majlis dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Awang Bemee Awang Ali Basah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mengulas lanjut, Johari berkata penubuhan MPP itu menyusul selepas penguatkuasaan rasmi Akta Perkhidmatan Parlimen pada 1 Okt lepas, sekali gus mengembalikan kebebasan pentadbiran Parlimen selepas 33 tahun berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau berkata MPP akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara, dengan keanggotaan keseluruhan 16 orang.

Johari berkata Ahli MPP antaranya terdiri daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), empat Ahli Dewan Rakyat serta dua wakil Dewan Negara yang bakal dipilih semasa persidangan dewan itu bermula 30 Nov ini.

Pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi, Perdana Menteri membentangkan usul pelantikan empat Ahli Parlimen bagi menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen yang kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju tanpa sesi perbahasan.

Ahli Parlimen yang dilantik masing-masing dua wakil kerajaan dan pembangkang iaitu Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

-- BERNAMA