Am 14/10/2026 01:45 PM

1,726 Projek Perumahan Swasta Berjaya Dipulihkan, GDV RM158 Bilion - Nga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
1,726 Projek Perumahan Swasta Berjaya Dipulihkan, GDV RM158 Bilion - Nga
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,726 projek perumahan swasta melibatkan 199,643 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM158 bilion berjaya dipulihkan oleh Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga Ogos lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pencapaian itu merupakan usaha Task Force Projek Perumahan Sakit Swasta dan Terbengkalai yang ditubuhkan pada 2023 bagi memastikan kebajikan serta hak pembeli rumah sentiasa terbela.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 147 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, melibatkan 29,900 unit rumah dengan GDV RM40.92 bilion. Selain itu, 1,542 projek sakit berjaya disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) melibatkan 163,621 unit rumah dengan jumlah GDV bernilai RM115.74 bilion.

“Bagi projek berstatus terbengkalai pula, 37 projek berjaya dipulihkan melibatkan 6,122 unit rumah dengan GDV berjumlah RM1.504 bilion, sama ada melalui penyiapan fizikal projek mahupun penyelesaian yang memberi manfaat kepada pembeli rumah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) behubung pelan alternatif kerajaan untuk menyelamatkan projek Residensi Wilayah Pangsapuri Salak Selatan jika Scheme of Arrangement oleh pengurus kehakiman gagal, termasuk pertimbangan melantik pemaju penyelamat bagi memastikan 1,120 unit kediaman tersebut berjaya disiapkan.

Mengulas mengenai projek Pangsapuri Salak Selatan di bawah program Rumah Wilayah, Nga berkata projek berkenaan dimajukan oleh Syarikat Solaris Community Sdn Bhd dan dikategorikan sebagai projek perumahan swasta sakit pada 22 Ogos 2021.

Beliau berkata pengurus kehakiman daripada Baker Tilly Insolvency telah dilantik menerusi perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Mac 2025 di bawah Akta Syarikat 2016 bagi menguruskan urusan perniagaan serta melindungi aset syarikat pemaju.

Namun, mahkamah pada 30 Sept lepas memutuskan untuk membatalkan perjanjian usaha sama (JV) antara pemaju dan tuan tanah, Potensi Mestika Construction Sdn Bhd, akibat kegagalan pemaju menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.

“Susulan keputusan itu, pengurus kehakiman memaklumkan kepada KPKT bahawa pihaknya berhasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Sehubungan itu, perkara tersebut pada hari ini masih dalam proses perundangan dan tertakluk kepada keputusan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Fong mengenai status projek perumahan sakit dan terbengkalai di Kuala Lumpur, Nga memberitahu setakat 31 Ogos lepas, terdapat tujuh projek perumahan swasta terbengkalai dan 12 projek berstatus sakit di ibu negara.

Beliau berkata antara projek sakit yang berjaya dipulihkan dan mendapat CCC bulan lepas termasuk Residensi Laman Segar Hijau dan Villa Setara Happy Garden, manakala projek Residensi Hektar Gombak serta 3 Warisan Pelangi kini masing-masing mencapai kemajuan fizikal melebihi 92 peratus.

Bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh, Nga berkata KPKT menyasarkan sifar projek sakit dan terbengkalai menjelang 2030 menerusi pelaksanaan pelbagai reformasi perumahan MADANI.

“Ini merangkumi pengenalan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS), platform TEDUH (Transformasi dan Pemerkasaan Penggunaan Data dalam Perumahan), audit berkala Akaun Pemajuan Perumahan (HDA), pembangunan sistem Big Data Analytics, serta pelancaran inisiatif Option to Purchase dan Order to Build dalam masa terdekat,” katanya.

-- BERNAMA