Am 14/10/2026 03:55 PM

Kerajaan Teliti Bantuan Bersasar Kepada Pesawah Terjejas Kelewatan Baja

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Teliti Bantuan Bersasar Kepada Pesawah Terjejas Kelewatan Baja
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti keperluan menyediakan bantuan bersasar kepada pesawah yang mengalami kemerosotan hasil susulan kelewatan bekalan baja.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penelitian itu akan dibuat bagi mengenal pasti pesawah yang benar-benar mengalami kerugian sebelum sebarang bentuk bantuan dipertimbangkan.

“Soal kerugian ini kita akan kaji dan bincang lagi supaya kalau ada peruntukan di mana-mana, kita akan pergi dalam bentuk bersasar, bukan kesemuanya. Kita lihat yang mengalami kemerosotan hasil, ada beberapa tempat kita akan lihat secara kes demi kes,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai kemungkinan pemberian insentif kepada pesawah yang terjejas akibat kelewatan bekalan baja.

Selain itu, Mohamad berkata beliau telah mengambil tindakan lebih awal dengan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi mendapatkan penjelasan mengenai kelewatan tersebut.

Beliau turut mendapatkan maklumat daripada pegawai berkaitan sebelum mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan supaya perkhidmatan syarikat pembekal yang tidak berupaya memenuhi tanggungjawabnya dihentikan.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata sebanyak 10 peratus daripada jumlah kutipan Kempen Tabung Pahlawan (KTP) kini diperuntukkan bagi aktiviti pelaburan melalui simpanan tetap di institusi kewangan.  

Beliau berkata kaedah pelaburan itu bertujuan memperoleh keuntungan, sekali gus meningkatkan nilai dana sedia ada bagi membiayai bantuan dan aktiviti kebajikan veteran serta tanggungan yang memerlukan.   

“Sehingga 22 Sept, sebanyak RM1.51 juta telah ditempatkan dalam simpanan tetap di Bank Islam Malaysia Bhd pada kadar keuntungan 3.6 peratus yang akan matang menjelang 15 Mac 2027.  

“Selain itu, KTP turut menerima peruntukan RM2 juta daripada Kementerian Kewangan yang kini sedang menunggu kelulusan untuk ditempatkan dalam simpanan tetap baharu bagi menjana pulangan tambahan,” katanya.   

Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) berhubung hala tuju transformasi Tabung Pahlawan daripada kebergantungan kepada sumbangan awam secara bermusim kepada model penjanaan dana mampan melalui pelaburan strategik atau rakan kongsi korporat.

-- BERNAMA