PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Isu kesihatan mental tidak seharusnya dianggap sebagai stigma atau dipandang ringan kerana kegagalan menanganinya pada peringkat awal boleh membawa kesan buruk kepada individu dan pasukan, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sehubungan itu, beliau meminta setiap bahagian, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi memberi perhatian serius terhadap kesejahteraan mental kakitangan masing-masing, termasuk menyediakan ruang dan sokongan sewajarnya kepada mereka yang memerlukan.
Beliau berkata masalah kesihatan mental tidak harus diperlekehkan, diketepikan atau dianggap perkara remeh kerana isu yang pada awalnya dilihat kecil boleh menjadi lebih serius sekiranya tidak ditangani.
“Saya minta semua untuk sentiasa meneliti isu kesihatan mental, ia bukan satu stigma. Isu kesihatan mental adalah perkara yang tidak harus kita perlekeh, perkecil atau endahkan.
“Ini penting kerana sekiranya kita tidak memerhati dan tidak mengambil tindakan, masalah dianggap kecil boleh menjadi besar dan mendatangkan kemudaratan bukan hanya kepada diri seseorang yang mengalami isu kesihatan mental tetapi juga kepada pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Oktober 2026 di sini hari ini.
Perhimpunan sempena Hari Sukan Negara 2026 itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata perkembangan media sosial turut menambah cabaran dalam persekitaran kerja apabila sesuatu perkara boleh mencetuskan kontroversi dalam tempoh singkat.
“Dengan kehadiran platform media sosial, kadang-kadang benda yang kita ingatkan baik dalam satu hari, keesokan harinya boleh menjadi sesuatu yang menimbulkan pertikaian
“Jadi saya minta isu kesihatan mental itu diutamakan dan kita beri ruang sekiranya perlu untuk staf atau pasukan kita menenangkan fikiran seketika,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Setiausaha kementerian berkenaan untuk menyediakan bahan berkaitan kesihatan mental untuk diteliti oleh setiap bahagian, jabatan dan agensi bagi meningkatkan kesedaran serta perhatian terhadap perkara berkenaan.
Mengenai Hari Sukan Negara, Fahmi turut menggalakkan warga kementerian untuk mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengurangkan kadar pengambilan gula.
“Saya minta semua bukan sekadar amalkan budaya hidup sihat, jaga pemakanan, yang penting sekarang budaya mengurangkan kadar pengambilan gula,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata Tabung Kasih@HAWANA berjaya menyalurkan bantuan kebajikan berjumlah RM2.54 juta kepada 864 pengamal media dan veteran wartawan di seluruh negara sejak 2023 hingga 12 Okt lepas.
Beliau berkata Telekom Malaysia (TM) diumumkan sebagai rakan strategik baharu tabung itu pada Jun lepas, dengan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM500,000.
“Jadi, kita ucapkan terima kasih kepada TM. Tabung Kasih@HAWANA ini adalah satu cara di mana kita bekerjasama dengan kelab-kelab media. Ia untuk kita mengenal pasti isu yang dihadapi oleh petugas-petugas media,” katanya.
Tabung Kasih @ HAWANA adalah inisiatif Kementerian Komunikasi yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023, dengan Bernama bertindak sebagai urus setia untuk menyelaras penyaluran bantuan kepada pengamal media dan veteran wartawan yang memerlukan.
-- BERNAMA