Am 14/10/2026 03:03 PM

Dua Mangsa Renjatan Elektrik Telah Sedar, Seorang Lagi Melecur 80 Peratus

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Mangsa Renjatan Elektrik Telah Sedar, Seorang Lagi Melecur 80 Peratus
Kredit: PDRM

ALOR SETAR, 14 Okt (Bernama) -- Dua daripada tiga remaja yang terkena renjatan elektrik ketika menyertai perarakan tokong sayur di Mergong, di sini malam tadi telah sedar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata seorang lagi mangsa yang berusia 16 tahun belum sedarkan diri dan mengalami kecederaan melecur kira-kira 80 peratus pada seluruh badan.

“Dua mangsa berusia 17 tahun yang mengalami kecederaan melecur 20 peratus pada tangan serta 40 peratus pada muka dan tangan telah sedar, namun masih dalam pemantauan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Basri berkata kesemua mereka dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Dua daripada mangsa ialah pelajar manakala seorang lagi pekerja kedai aksesori motosikal.

Beliau berkata polis menerima panggilan telefon pada 9.20 malam memaklumkan tiga individu cedera akibat terkena renjatan elektrik ketika membawa bendera semasa perarakan berlangsung.

Syed Basri berkata seorang daripada mangsa memaklumkan tiang bendera yang dibawa tersentuh talian utama bekalan elektrik itu pada ketinggian dianggarkan 10 meter menyebabkan dia dan dua lagi mangsa terkena renjatan.

-- BERNAMA