Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Destinasi percutian berkonsepkan glamping atau perkhemahan mewah di Selangor terus menjadi pilihan, memperkukuh kedudukan sebagai antara produk pelancongan berpotensi tinggi untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara.
Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata industri itu menawarkan dimensi percutian unik yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan kemudahan moden bertaraf hotel.
"Ada orang suka berkhemah tetapi mahu dalam keadaan yang selesa. Glamping menyediakan perkhidmatan dan juga tawaran penginapan dalam bentuk perkhemahan tetapi ada fasiliti seperti bilik hotel yang ada pendingin hawa dan katil yang selesa," katanya kepada Bernama ketika program Surprising Selangor: Let's Glamping - Outdoor Media Gathering di The Nyaman Place, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.
Katanya, lokasi strategik berhampiran Kuala Lumpur juga memainkan peranan penting dalam memudahkan orang ramai, terutamanya warga kota, untuk berkunjung ke Selangor.
Menurutnya, sambutan terhadap industri itu amat memberangsangkan terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, dengan tapak-tapak di daerah Hulu Langat dan Hulu Selangor (Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali) menjadi tumpuan utama.
Selain menawarkan pengalaman unik kepada pelancong, beliau berkata pembangunan tapak glamping turut terbukti memberikan limpahan ekonomi yang ketara kepada penduduk kampung dan kawasan setempat.
"Kebiasaannya, jika terdapat satu tapak glamping, pastinya akan ada pelbagai aktiviti contohnya ATV (kenderaan pelbagai lapangan)... Aktiviti itu akan diuruskan oleh orang kampung di sekitar kawasan berkenaan. Jadi, limpahan ekonominya bukan tertumpu pada tanah persendirian sahaja, tetapi seluruh komuniti," katanya.
Bagi menyokong usaha tersebut, Ahmad Nazri berkata Tourism Selangor sedang bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyelaras data pelesenan serta memperketat pematuhan garis panduan keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Beliau juga yakin inisiatif memperkasakan produk berteraskan alam itu mampu memacu sektor pelancongan Selangor ke tahap lebih tinggi selepas mendahului carta nasional dengan 36.4 juta pengunjung domestik tahun lalu.
Sementara itu, pemilik The Nyaman Place, Mohamad Syafiq Azim Shaheen berkata sejak beroperasi setahun lalu, pusat penginapan berkenaan menarik kehadiran 25,460 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat serta pelancong Singapura dan Thailand.
Beliau percaya kejayaan itu didorong oleh keunikan konsep penginapan yang menitikberatkan kemudahan mesra tetamu, termasuk penyediaan tandas peribadi bagi setiap bilik.
Menurutnya, selain menjadi pilihan percutian keluarga, destinasi glamping sedemikian turut menjadi tumpuan sektor korporat serta agensi kerajaan bagi penganjuran program pembinaan pasukan berikutan kelengkapan dewan pelbagai guna yang selesa dan kolam renang.
Mohamad Syafiq Azim berkata pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti rekreasi tambahan yang disediakan di sekitar kawasan percutian, seperti memancing dan merentas hutan.
"Pembangunan inap desa mewah berkonsepkan alam semula jadi ini juga secara tidak langsung memperkasakan landskap pelancongan luar bandar secara mampan," katanya yang turut berharap kerjasama erat antara pengusaha swasta, PBT dan komuniti setempat dapat terus diperkasakan demi memastikan industri ini kekal selamat serta terus menjadi pilihan utama pelancong.
-- BERNAMA