Tidak ada yang lebih meruntun hati Muhammad Syahir Azali selain daripada melihat anak perempuannya yang berusia sembilan tahun tercungap-cungap untuk bernafas, sedangkan dia tidak mampu meredakan kesakitan dan rasa sesak dada yang ditanggung anaknya itu.
Menurut bapa kepada Puteri Hannah Amelia ini, anaknya yang menghidap asma sejak kecil itu mengalami kesukaran bernafas pada penghujung Ogos lalu, dan buat pertama kali terpaksa dimasukkan ke wad bagi menjalani rawatan.
“Pada mulanya dia hanya batuk-batuk dan pada hari kedua saya membawanya ke klinik berhampiran kediaman kami di Setiawangsa. Doktor memaklumkan anak saya mengalami keradangan tekak dan membekalkan ubat-ubatan untuk dibawa pulang.
“Namun, pada hari ketiga keadaannya bertambah serius apabila dia mengadu susah bernafas dan sakit dada. Kami segera membawanya ke hospital dan doktor beritahu anak saya mengalami jangkitan bakteria Mycoplasma dan bronkitis yang turut dikaitkan dengan jerebu,” kata Muhammad Syahir, 35, kepada Bernama.
Selepas lima hari, anaknya dibenarkan keluar dari hospital berserta nasihat doktor agar kanak-kanak itu sentiasa memakai pelitup muka walaupun ketika di dalam ruang tertutup kerana situasi jerebu yang semakin buruk berisiko menjadikan keadaannya bertambah teruk. Malah, anaknya juga tidak dapat ke sekolah disebabkan oleh masalah kesihatan itu.
Sementara itu, penggiat sukan larian Syahirah Atikah, 36, pula mengalami kesukaran bernafas selepas menyertai acara maraton di ibu kota baru-baru ini, meskipun bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) ketika itu berada di bawah 100.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik; 51 hingga 100 sederhana; 101 hingga 200 tidak sihat; 201 hingga 300 sangat tidak sihat; manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
“Acara itu diteruskan seperti biasa. Saya yakin untuk berlari kerana bacaan IPU di bawah 100, yang menunjukkan aktiviti luar masih boleh dilakukan.
“Bagaimanapun, keadaan jerebu bertambah buruk pada pagi itu. Selepas menamatkan larian, saya berasa sesak dada dan sukar bernafas.
“Keesokan harinya saya terpaksa mengambil cuti sakit selepas mengalami sakit kepala dan selesema teruk, yang saya percaya berpunca daripada aktiviti larian ketika jerebu,” katanya yang sebelum itu tidak mempunyai masalah kesihatan.
IPU TINGGI
Kedua-dua kes itu menggambarkan bagaimana jerebu berupaya menjejaskan kesihatan manusia, daripada seorang kanak-kanak penghidap asma terpaksa dimasukkan ke hospital buat pertama kali hinggalah orang dewasa yang sebelum ini sihat tetapi mengalami kesukaran bernafas selepas melakukan aktiviti luar.
Bencana jerebu yang melanda negara sejak Ogos lalu tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat ini, sekali gus meningkatkan risiko bagi golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas serta mereka yang menghidap masalah pernafasan.
Malah, langkah penutupan sekolah secara berperingkat yang sebelum ini hanya dilakukan di beberapa bahagian di Sarawak dan Sabah kini diperluas ke Semenanjung, khususnya di selatan pantai barat apabila IPU merekodkan bacaan melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut di kawasan terjejas.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dilaporkan berkata penutupan sekolah juga akan dibuat mengikut kes, bergantung pada situasi semasa.
Dalam kenyataan pada 10 Okt, Kementerian Kesihatan memaklumkan kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat sebanyak 10.43 peratus, manakala kes konjunktivitis meningkat 26.47 peratus berdasarkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu di 78 fasiliti kesihatan terpilih di seluruh negara.
Menurut kementerian itu, kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat daripada 3,509 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-39 kepada 3,875 pada ME ke-40. Kes konjunktivitis pula meningkat daripada 102 kepada 129 dalam tempoh sama.
RISIKO JANGKA PANJANG KE ATAS PARU-PARU
Pakar Perunding Pediatrik dan Pernafasan Pediatrik Sunway Medical Centre Dr Noor Zehan Abdul Rahim berkata pendedahan berpanjangan atau berulang kepada jerebu boleh menyebabkan keradangan berterusan pada saluran pernafasan kerana zarah halus seperti PM2.5 mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru.
“Keadaan ini boleh menyebabkan batuk berpanjangan, penghasilan mukus yang berlebihan, nafas berbunyi, sesak dada dan kesukaran bernafas.
“Pendedahan berulang membimbangkan, khususnya bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pernafasan sedia ada seperti asma kerana situasi itu boleh mencetuskan serangan dan memburukkan gejala.
“Dalam jangka panjang, pendedahan berulang kepada pencemaran udara boleh menyumbang kepada kemerosotan fungsi paru-paru dan meningkatkan risiko komplikasi kesihatan pernafasan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kanak-kanak lebih mudah terjejas kerana paru-paru mereka masih berkembang, manakala warga emas mungkin mempunyai kapasiti paru-paru yang lebih rendah dan keupayaan yang berkurang untuk menyingkirkan zarah yang disedut.
Walaupun aktiviti larian secara umumnya diiktiraf sebagai amalan yang baik untuk kesihatan, bersenam di luar ketika jerebu boleh meningkatkan risiko kesihatan, terutama di kawasan bandar yang turut mengalami pencemaran udara daripada kenderaan.
Profesor Klinikal Universiti Cambridge merangkap Pengerusi Kesihatan Awam Global dan Pembangunan Bandar Lestari Prof. Tolullah Oni berkata kualiti udara yang disedut ketika bersenam sama pentingnya dengan aktiviti fizikal itu sendiri, meskipun senaman berkala memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit tidak berjangkit.
Jelas beliau, seseorang lazimnya bernafas dengan lebih cepat dan dalam ketika berlari, sekali gus menyebabkan lebih banyak udara tercemar disedut berbanding ketika berehat.
Ketika ditemui Bernama di luar persidangan Global Tipping Points yang dianjurkan Sunway Centre for Planetary Health Malaysia, Oni berkata risiko itu mungkin lebih tinggi bagi mereka yang bersenam berhampiran jalan raya yang sibuk, memandangkan pelepasan kenderaan menyumbang kepada peningkatan pencemaran udara.
“Kajian menunjukkan tahap pencemaran daripada pelepasan kenderaan boleh berkurang dengan ketara apabila jarak daripada sumber pencemaran bertambah. Oleh itu, lokasi laluan larian perlu diberi perhatian dalam perancangan bandar.
“Penyediaan kemudahan untuk aktiviti fizikal yang dipisahkan daripada jalan raya, walaupun hanya beberapa meter, mampu membawa perbezaan besar dari segi jumlah bahan pencemar yang disedut,” katanya.
Menurut Oni, jerebu rentas sempadan boleh meliputi kawasan yang jauh lebih luas berbanding pencemaran kenderaan yang hanya tertumpu di sekitar sumbernya. Hal ini menyukarkan orang ramai mencari lokasi alternatif untuk melakukan aktiviti larian di luar rumah bagi mengelakkan diri daripada terdedah kepada jerebu.
“Dalam keadaan sekarang, risikonya sudah tentu lebih tinggi. Saya sama sekali tidak mengesyorkan aktiviti larian di luar ketika jerebu teruk.
“Pendedahan kepada pencemaran udara pada tahap tinggi bukan sahaja boleh menjejaskan paru-paru, malah membuatkan asma bertambah teruk dan meningkatkan risiko masalah kardiovaskular, termasuk insiden berkaitan jantung, strok dan tekanan darah tinggi, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada,” katanya.
EL-NINO BURUKKAN LAGI JEREBU
Ketika jerebu terus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam, perubahan corak cuaca dan kemungkinan berlakunya El Niño turut berpotensi mempengaruhi tempoh jerebu melanda Malaysia.
Susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tentang fenomena El Niño kuat atau Super El Niño, ditambah dengan kesan perubahan iklim dan pemanasan global, negara dijangka mengalami cuaca panas terik antara Mac hingga Mei 2027, dengan suhu berpotensi melebihi 40.1 darjah Celsius.
Pegawai meteorologi MetMalaysia Mimi Adilla Sarmani berkata negara ketika ini berada dalam fasa peralihan monsun yang lazimnya dicirikan oleh tiupan angin lemah dan berubah-ubah. Perubahan arah angin itu boleh membawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah di negara jiran termasuk Indonesia, ke Malaysia sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan.
“Sekiranya terdapat titik panas atau kebakaran hutan di Sumatera atau Kalimantan misalnya, dan angin bertiup ke arah Malaysia, asap boleh dibawa masuk ke negara ini lalu menyebabkan jerebu rentas sempadan,” katanya ketika sesi perkongsian ringkas bersama-sama MetMalaysia bersempena dengan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2026, di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, Mimi Adilla berkata keadaan dijangka bertambah baik dengan ketibaan Monsun Timur Laut pada November ini, apabila angin lazimnya bertiup dari arah timur laut. Hujan sepanjang tempoh peralihan monsun juga berpotensi membantu mengurangkan kepekatan bahan pencemar di atmosfera.
“Namun, jerebu masih berkemungkinan berlaku sekiranya sistem cuaca menyebabkan perubahan arah angin dan membawa asap ke Malaysia sekali lagi, walaupun kebarangkaliannya sangat rendah,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Respiratori dan Pulmonologi Dalaman Sunway Medical Centre Dr Syed Ajmal Syed Ali berkata cuaca panas melampau dan jerebu boleh meningkatkan tekanan terhadap sistem pernafasan, khususnya bagi individu yang mempunyai masalah paru-paru sedia ada.
“Jerebu mendedahkan paru-paru kepada zarah halus seperti PM2.5 yang boleh mencetuskan keradangan dan meningkatkan penghasilan mukus, sekali gus menyebabkan batuk, nafas berbunyi, sesak dada dan kesukaran bernafas.
“Apabila keadaan ini berlaku serentak dengan tempoh cuaca panas melampau yang berpanjangan, tekanan tambahan terhadap tubuh boleh menyukarkan golongan rentan menghadapi keadaan kualiti udara yang teruk,” katanya.
pic-8
Beliau berkata keadaan panas dan kering berpanjangan ketika El Niño turut mampu meningkatkan risiko kebakaran semak samun, sekali gus memburukkan lagi jerebu dan memanjangkan tempoh pendedahan kepada bahan pencemar di udara.
“Gabungan keadaan ini amat membimbangkan sekiranya orang ramai terus melakukan aktiviti luar atau bekerja di luar untuk tempoh yang panjang.
“Oleh itu, kami menasihatkan supaya orang ramai mengehadkan pendedahan di luar ketika kualiti udara teruk, mengelakkan aktiviti luar yang berat, memastikan tubuh mendapat air mencukupi ketika cuaca panas dan meneruskan pengambilan ubat yang dipreskripsikan bagi masalah pernafasan sedia ada.
“Sesiapa yang mengalami kesukaran bernafas, nafas berbunyi atau sesak dada yang semakin teruk perlu mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.
PERLUKAN UNDANG-UNDANG LEBIH TEGAS
Walaupun perubahan corak monsun dan hujan mungkin memberikan kelegaan sementara daripada jerebu, kumpulan aktivis alam sekitar berpendapat undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih tegas diperlukan bagi menangani masalah berulang itu.
Pada 7 Okt, Greenpeace Malaysia bersama-sama dengan beberapa pertubuhan masyarakat sivil menggesa kerajaan mempercepat usaha menggubal undang-undang jerebu rentas sempadan bagi membolehkan tindakan diambil ke atas syarikat yang didapati bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah gambut yang menyebabkan jerebu merentasi sempadan negara.
Mereka turut menggesa kerajaan agar menuntut ketelusan lebih tinggi daripada Indonesia, khususnya berhubung lokasi kebakaran, hasil siasatan dan syarikat yang mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Pengurus Kempen Greenpeace Malaysia Heng Kiah Chun berkata Malaysia tidak boleh terus menangguhkan usaha memperkukuh kerangka perundangannya ketika masyarakat menanggung kesan kesihatan akibat jerebu saban tahun.
“Undang-undang jerebu rentas sempadan tidak seharusnya kekal dalam perancangan sedangkan masyarakat terus menanggung kesan kesihatan akibat jerebu tahun demi tahun.
pic-9
“Kerajaan Malaysia telah mengumumkan mereka sedang menimbang penggubalan undang-undang berkenaan. Kini, kita perlu melihat pertimbangan itu diterjemahkan kepada tindakan segera yang konkrit dan mempunyai tempoh pelaksanaan yang jelas.
“Kita mesti mempunyai kuasa undang-undang untuk menyiasat dan memastikan syarikat mengambil tanggungjawab apabila terdapat bukti yang boleh dipercayai mereka terlibat dalam kemudaratan alam sekitar yang melangkaui sempadan negara kita. Kalau jerebu merentasi sempadan, maka kebertanggungjawaban juga perlu ‘merentas’ sempadan,” katanya.