Am 14/10/2026 11:11 AM

Belanjawan 2027: Kejayaan Projek RTB Diukur Berdasarkan Risiko Yang Berkurang - Pakar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Kejayaan Projek RTB Diukur Berdasarkan Risiko Yang Berkurang - Pakar
Kerja-kerja Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sedang giat dilakukan ketika tinjauan fotoBernama di Sungai Duyong, Melaka baru-baru ini. Impak pelaksanaan tujuh projek RTB di Melaka mula menampakkan hasil apabila beberapa kawasan yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi banjir berulang kini merekodkan pengurangan ketara insiden air naik meskipun berdepan hujan lebat berpanjangan. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Nur Syahidayah Mahasan

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan tiga projek baharu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) menerusi Belanjawan 2027 perlu disokong perancangan guna tanah yang baik, penyelenggaraan berterusan serta pemantauan keberhasilan bagi memastikan pelaburan kerajaan benar-benar mampu mengurangkan risiko banjir dan melindungi nyawa serta harta benda rakyat.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Fadhil Md Din berkata kerajaan perlu menetapkan indikator yang jelas bagi setiap projek RTB supaya keberkesanannya dapat dinilai berdasarkan manfaat sebenar kepada penduduk, bukan sekadar kemajuan fizikal.

Beliau berkata indikator berkenaan boleh merangkumi pengurangan keluasan kawasan dilanda banjir, kedalaman dan tempoh genangan air, jumlah penduduk terjejas serta nilai kerugian ekonomi yang dapat dielakkan, selain mengambil kira unjuran hujan ekstrem akibat perubahan iklim bagi tempoh 20 hingga 50 tahun akan datang.

“Projek RTB berupaya mengurangkan puncak aliran banjir, paras limpahan dan tempoh genangan sekiranya reka bentuknya mengambil kira analisis hidrologi serta keadaan lembangan sungai yang tepat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Fadhil berkata setiap projek perlu mengambil kira keadaan setempat bagi memastikan langkah tebatan banjir di sesuatu kawasan tidak memindahkan risiko ke kawasan lain.

Tiga projek berkenaan ialah RTB Bandaraya Kuching, Sarawak; Projek Lencongan Banjir Sungai Golok Fasa 2, Kelantan; dan Projek Lencongan Banjir Sungai Kemaman, Terengganu.

Mohd Fadhil berkata pelaksanaan projek berkenaan merupakan kesinambungan usaha kerajaan memperkukuh daya tahan negara terhadap bencana banjir, khususnya dalam menghadapi hujan ekstrem akibat perubahan iklim.

“Bagi RTB Bandaraya Kuching, perhatian perlu diberikan kepada gabungan hujan lebat, aliran sungai dan fenomena air pasang yang boleh menyukarkan aliran air ke laut, manakala perlindungan di Sungai Golok memerlukan pelaksanaan bersepadu bagi semua fasa projek serta penyelarasan pengurusan lembangan merentasi sempadan Malaysia-Thailand.

“Sementara itu, pelaksanaan Projek Lencongan Banjir Sungai Kemaman perlu memastikan usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan bandar tidak meningkatkan risiko kepada penempatan di bahagian hilir atau kawasan berhampiran saluran lencongan,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan penggunaan pemodelan banjir dua dimensi, Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderia Internet Pelbagai Benda (IoT) serta sistem amaran awal berasaskan ramalan cuaca bagi membolehkan pihak berkuasa bertindak sebelum banjir mencapai tahap kritikal.

“Pada masa sama, kita memerlukan gabungan penyelesaian kejuruteraan dan pendekatan berasaskan alam semula jadi seperti pemuliharaan kawasan tadahan, pemulihan dataran banjir, kawasan takungan hijau serta sistem saliran bandar mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli Prof Dr Aweng Eh Rak berkata keberkesanan projek tebatan banjir dalam jangka panjang turut dipengaruhi perubahan guna tanah dan aktiviti manusia yang boleh mengubah parameter asal reka bentuk projek.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Sains Bumi UMK berkata pembangunan yang mengurangkan kawasan telap air serta perubahan kapasiti sungai boleh menjejaskan keupayaan sistem tebatan banjir menangani aliran air, justeru pendekatan kejuruteraan perlu disokong pengurusan kawasan tadahan yang baik.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kawasan telap air diperluas, kawasan takungan banjir semula jadi dikenal pasti dan diwartakan serta pembangunan di kawasan riparian dan dataran banjir dihentikan bagi memastikan keberkesanan sistem tebatan banjir dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Ketahanan Iklim, Air dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Bumi UMK Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin pula berkata projek infrastruktur RTB perlu dilaksanakan seiring dengan penyelenggaraan sistem saliran setempat kerana kedua-duanya penting bagi melindungi nyawa, kediaman, kemudahan awam dan kegiatan ekonomi rakyat.

Beliau berkata peruntukan hampir RM320 juta untuk membaiki dan menaik taraf cerun, parit serta longkang di kawasan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara merupakan langkah penting kerana sistem saliran yang berfungsi dengan baik dapat mengurangkan takungan air dan risiko banjir kilat.

“Penyelenggaraan berkala termasuk pembersihan sampah, pengurusan sedimen serta penyelenggaraan pam dan pintu air, jika berkaitan, perlu diberi perhatian supaya kapasiti perlindungan infrastruktur dapat dikekalkan dalam jangka panjang,” katanya.

Mohamad Faiz berkata pelaksanaan RTB juga perlu disepadukan dengan perancangan pembangunan, pematuhan Manual Saliran Mesra Alam, perlindungan kawasan tadahan dan pemeliharaan ruang takungan semula jadi, selain memperkukuh sistem amaran awal serta kesiapsiagaan komuniti.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas mengumumkan kerajaan telah menyiapkan enam projek RTB bernilai RM336 juta, manakala 82 projek lagi sedang dilaksanakan mengikut jadual.

Kerajaan turut memperuntukkan hampir RM320 juta bagi kerja pembaikan dan naik taraf cerun, parit serta longkang di seluruh negara.

-- BERNAMA