Am 14/10/2026 11:08 AM

Sehari Yang Mengubah Erti 24 Tahun Mencarum

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sehari Yang Mengubah Erti 24 Tahun Mencarum
Gambar Hiasan

Pada 1 Jun 2026,  Wan Norlida Mohd Norsaidi, 50, dari Kampung Kedai Buluh di sini, menjalani rutin hariannya seperti biasa sebagai seorang pekerja dan juga ibu kepada tujuh anak.

Justeru, dia langsung tidak menjangka, sehari kemudian dia berdepan dengan saat paling getir dalam kehidupannya, apabila kenderaan dinaiki bersama-sama dengan suami Md Yunus Abdollah, 49, dan tiga anak mereka - Ainul Maisarah, 20; Muhammad Amsyar Izzuddin, 12 dan Ahmad Thaqif Iman berusia 10 tahun - terlibat kemalangan.

Nahas yang berlaku di Sungai Bari, Setiu, Terengganu semasa mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang daripada menghadiri kenduri kesyukuran itu mengakibatkan Wan Norlida mengalami kecederaan serius dan memerlukan tiga pembedahan serta lebih empat bulan cuti sakit.

Pun begitu, Wan Norlida bernasib baik kerana dia dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sebalik kemalangan berlaku hanya sehari selepas skim LINDUNG 24 Jam berkuat kuasa dan dia belum sempat membayar caruman bagi bulan berkenaan.

 

PERLINDUNGAN 24 JAM

Skim LINDUNG 24 Jam memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan lebih luas ke atas pekerja, meliputi pelbagai insiden yang berlaku di luar waktu kerja termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.

Ketua Cawangan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan Ira Shahrani Mohd Sukri berkata Wan Norlida layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara dan masih menerima faedah berkenaan kerana belum kembali bekerja.

Maju Johor
Ketua Cawangan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan Ira Shahrani Mohd Sukri

“Pada 1 Jun, skim LINDUNG 24 Jam telah dikuatkuasakan dan pada 2 Jun berlaku kemalangan ke atas pencarum. Walaupun belum sempat membayar caruman untuk bulan itu, dia tetap dilindungi oleh PERKESO,” katanya.

Menurut Ira Shahrani, kes Wan Norlida merupakan antara kes terawal skim LINDUNG 24 Jam di Kelantan.

Ironinya, wanita yang telah 24 tahun mencarum PERKESO itu sendiri tidak mengetahui sepenuhnya peluasan perlindungan berkenaan sehingga musibah menimpanya.

 

TRAGEDI 11 PAGI 2 JUN

Pada pagi 2 Jun, Wan Norlida bersama-sama dengan suami dan tiga anak dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas menghadiri majlis kesyukuran di rumah adiknya di Dungun, Terengganu apabila kereta yang dipandu anak perempuannya Ainul Maisarah itu bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertengan semasa mereka melalui jalan Kampung Sungai Bari, Setiu.

Kemalangan pada 11 pagi itu menyebabkan Wan Norlida yang duduk di bahagian penumpang belakang bersama-sama dengan anak bongsunya Ahmad Thafiq Iman tersepit. Pun begitu, Ahmad Thafiq berjaya dikeluarkan oleh Ainul Maisarah yang masih mampu bergerak selepas menarik keluar  bapanya dan seorang lagi adiknya Muhammad Amsyar Izzuddin dari kereta mereka.

Wan Norlida pula hanya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba kira-kira satu jam kemudian.

Berkongsi perasaannya dengan Bernama, wanita itu berkata pada waktu berkenaan, fikirannya bukan sahaja tertumpu pada dirinya dan tiga anak yang bersama-sama dengannya, tetapi juga empat lagi anaknya yang berada di tempat lain.

“Saya fikir anak saya ada lagi yang hidup. Anak saya tujuh orang, yang kena tiga (terlibat kemalangan), ada lagi empat. Kalau Allah kata umur saya pendek dengan anak dan suami, reda sajalah. Alhamdulillah panjang lagi umur, nak jaga anak ramai lagi,” katanya.

 

TIGA PEMBEDAHAN, LEBIH EMPAT BULAN TANPA BEKERJA

Akibat kemalangan itu, Ahmad Thaqif Iman mengalami keretakan tengkorak dan pendarahan di kepala sehingga memerlukan pembedahan, manakala Ainul Maisarah mengalami keretakan tulang fibula. Muhammad Amsyar Izzuddin pula mengalami kecederaan di dahi, sementara Md Yunus mengalami patah paha kiri.

Wan Norlida pula mengalami patah kedua-dua kaki serta tulang pinggul dan menjalani tiga pembedahan pada 2 Jun di Hospital Setiu, Terengganu serta 15 dan 21 Jun lepas di Hospital Tanah Merah.

Kecederaan itu menyebabkan Wan Norlida terpaksa mengambil cuti sakit lebih empat bulan, manakala doktor menganggarkan tempoh pemulihannya boleh mengambil masa hingga setahun.

Ketika lawatan susulan dibuat, Wan Norlida masih tidak mampu bangun dari katil dan kedua-dua kakinya dipasang alat sokongan Ilizarov bagi membantu proses rawatan.

Maju Johor
Wan Norlida Mohd Norsaidi

Namun, kesan kemalangan itu tidak terhenti pada kecederaan fizikal. Wan Norlida dan suaminya kini tidak mempunyai punca pendapatan ketika masing-masing masih dalam tempoh pemulihan, sedangkan anak-anak mereka masih bersekolah dan seorang bakal melanjutkan pengajian di universiti.

Bagi keluarga itu, pemulihan Wan Norlida turut menjadi tempoh tanpa sumber pendapatan.

 

“KAMI TAK MAMPU BELI INSURANS PERIBADI”

Bagi Wan Norlida yang bekerja sebagai pembantu tadbir di pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Kota Bharu dan telah 24 tahun mencarum dalam PERKESO, perlindungan itu hadir ketika keluarganya paling memerlukan.

Menurut wanita ini keluarganya tidak berkemampuan untuk membeli insurans persendirian, menjadikan perlindungan PERKESO sebagai satu-satunya jaringan keselamatan ketika musibah berlaku.

“Terima kasih kepada semua pencarum PERKESO sebab boleh bantu kami. Kami tak mampu nak beli insurans peribadi. Kami cuma harap PERKESO. Alhamdulillah boleh bantu sampai RM38,000. Kalau kami kerja di kampung, nak ambil duit dari mana RM38,000 tunai untuk bayar (kos hospital),” katanya.

Menurutnya, proses menuntut faedah itu juga tidak rumit dan hanya mengambil masa yang singkat kerana PERKESO berurusan secara langsung dengan majikan memandangkan semua dokumen yang diperlukan telahpun lengkap.

 

24 TAHUN MENCARUM, BARU FAHAM NILAINYA

Mengakui dia pernah merasakan caruman PERKESO tidak begitu penting kerana manfaatnya tidak dirasai secara langsung, nahas yang menimpa itu mengubah pandangannya.

“Macam saya juga hari itu rasa macam tak adil kita carum PERKESO. Tapi selepas apa yang berlaku pada kita, (baru sedar) betapa besarnya manfaat caruman ini. Selagi tak kena pada diri sendiri, selagi itu kita tak sedar apa pentingnya kita carum dalam PERKESO,” katanya.

Maju Johor
Wan Norlida pula mengalami patah kedua-dua kaki serta tulang pinggul dan menjalani tiga pembedahan pada 2 Jun di Hospital Setiu, Terengganu serta 15 dan 21 Jun lepas di Hospital Tanah Merah.

Pengalaman itu tidak terhenti pada dirinya. Selepas menerima manfaat berkenaan, Wan Norlida mula berkongsi pengalamannya dengan rakan sekerja dan menggalakkan mereka mendapatkan perlindungan.

“Lepas saya kena, saya cakap kepada semua staf, wajib carumlah (LINDUNG) 24 jam. Kita tak tahu apa yang akan jadi sebab walaupun kemalangan kecil pun dia (PERKESO) cover (lindung),” katanya.

 

RISIKO TIDAK BERHENTI APABILA WAKTU PEJABAT TAMAT

Sementara itu, Ira Shahrani daripada PERKESO menegaskan  pengalaman Wan Norlida menunjukkan kepentingan perlindungan sosial apabila kemalangan berlaku di luar waktu kerja.

Beliau berkata menerusi skim LINDUNG 24 Jam, perlindungan diperluas kepada kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja, termasuk ketika cuti dan melakukan aktiviti peribadi, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

“Antara kes yang diterima PERKESO ialah kemalangan ketika bersukan, keluar makan, terjatuh di rumah termasuk di bilik air serta kemalangan ketika memasak,” katanya.

Menurutnya, kemalangan ketika melakukan urusan peribadi seperti menghadiri kenduri saudara-mara atau membeli barang di pasar juga boleh dilindungi mengikut syarat ditetapkan.

“Dalam kes Wan Norlida, kemalangan berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis kesyukuran keluarganya.

“Kemalangan boleh berlaku ketika seseorang sedang bercuti, berada di rumah, bersukan atau menjalankan urusan peribadi, sedangkan kesannya boleh berlanjutan kepada kesihatan, pendapatan dan keluarga,” tambahnya.

 

RM44,000 DISALURKAN DI KOTA BHARU

Di Kelantan, manfaat skim LINDUNG 24 Jam turut diterjemahkan melalui bayaran faedah kepada pekerja yang mengalami kemalangan.

Ira Shahrani berkata PERKESO Kota Bharu setakat ini telah menyalurkan kira-kira RM44,000 dalam bentuk faedah bagi kes di bawah skim berkenaan, tidak termasuk kes yang dikendalikan pejabat PERKESO Kuala Krai yang meliputi Kuala Krai dan Gua Musang.

Beliau berkata pekerja boleh mengemukakan permohonan menerusi Portal Lindung PERKESO secara dalam talian atau tampil di pejabat PERKESO.

Maju Johor
Pengarah PERKESO Kelantan Wan Izani Wan Isa

“Jika dokumen seperti kad pengenalan, penyata akaun bank dan sijil cuti sakit (MC) lengkap, kes yang jelas boleh diproses pada hari yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, pekerja masih perlu memaklumkan majikan mengenai kemalangan yang berlaku walaupun di luar waktu kerja kerana pengesahan majikan diperlukan dalam proses siasatan bagi sesetengah kes.

 

CABARAN MEMASTIKAN PEKERJA MEMAHAMI PERLINDUNGAN 

Pengalaman Wan Norlida pada masa sama membuka persoalan lebih besar mengenai tahap kesedaran pekerja terhadap perlindungan keselamatan sosial.

Jika seseorang yang telah mencarum selama 24 tahun sendiri tidak mengetahui sepenuhnya peluasan perlindungan yang tersedia, masih terdapat cabaran untuk memastikan pekerja lain benar-benar memahami hak dan manfaat mereka.

Di peringkat nasional, sebanyak 87 peratus daripada keseluruhan pencarum PERKESO kekal dalam skim LINDUNG 24 Jam setakat 31 Ogos lepas, melibatkan kira-kira 8.5 juta pencarum.

Pengarah PERKESO Kelantan Wan Izani Wan Isa berkata perkembangan itu menunjukkan semakin ramai pencarum menyedari kepentingan perlindungan keselamatan sosial selepas menerima penerangan daripada PERKESO.

“Alhamdulillah, selepas kami membuat sesi penerangan bersama-sama majikan, NGO dan pemimpin masyarakat, semakin ramai memilih untuk kembali kepada skim LINDUNG 24 Jam ini,” katanya.

Menurut Wan Izani, masih terdapat golongan pekerja yang kurang memahami manfaat skim berkenaan selain memperoleh maklumat daripada sumber tidak rasmi terutama menerusi media sosial.

“Justeru, PERKESO Kelantan mempergiat pendekatan turun padang dengan menyertai program masyarakat, membuka reruai serta mengadakan sesi penerangan dengan majikan, NGO dan pemimpin masyarakat termasuk menerusi program Cakna Rakyat.

“Bagi PERKESO, cabaran selepas memperluas perlindungan bukan sekadar memastikan skim tersedia, tetapi memastikan pekerja mengetahui mereka dilindungi dan memahami cara mendapatkan hak berkenaan apabila musibah berlaku,” katanya.

 

PERLINDUNGAN TIDAK BERAKHIR DENGAN BAYARAN

Perlindungan PERKESO juga tidak terhenti selepas tuntutan diluluskan.

Wan Izani berkata melalui pendekatan Pengurusan Hilang Upaya (PHU), pekerja yang mengalami kecederaan serius dan memerlukan tempoh pemulihan panjang boleh terus dibantu sehingga berupaya kembali menjalani kehidupan dan bekerja mengikut kemampuan.

Pendekatan itu merangkumi peranan Case Manager yang menguruskan kes secara lebih menyeluruh.

Selain fisioterapi dan rehabilitasi, bantuan boleh merangkumi latihan peningkatan kemahiran, latihan kemahiran baharu, pengubahsuaian tugas atau penempatan pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan semasa pekerja.

Maju Johor
Wan Norlida Mohd Norsaidi bersama anak perempuannya ketika menerima kunjungan di rumahnya di Kampung Kedai Buluh, Kota Bharu. Suaminya, Md Yunus Abdollah (kanan), turut mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan pasangan itu kehilangan punca pendapatan sementara menjalani pemulihan.

Dalam kes Wan Norlida, PERKESO turut mengikuti perkembangan kes berkenaan dan akan menyalurkannya kepada pegawai Pengurusan Hilang Upaya sekiranya wanita itu memerlukan pemulihan, rehabilitasi atau bantuan untuk kembali bekerja.

Bagi Wan Norlida, perjalanan pemulihan kini menjadi keutamaan.

Doktor telah mencadangkan fisioterapi selepas keadaan kakinya mengizinkan dan dia merancang mendapatkan rawatan melalui PERKESO.

“Saya akan buat fisioterapi dengan PERKESO. Kalau boleh nak dekat HPUSM (Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia) sebab kalau pergi Perak atau Melaka jauh,” katanya.

Kini dia menjalani rawatan susulan kira-kira sebulan sekali.

 

“NAK MASUK KERJA BALIKLAH”

Bagi ibu kepada tujuh anak itu, semua bantuan yang diterima akhirnya menuju satu matlamat iaitu kembali bekerja.

Lebih empat bulan selepas kemalangan, dia masih belum dapat kembali kepada rutin asal, namun keinginan untuk mencari rezeki semula tidak pernah hilang.

“Perancangan selepas sembuh? Nak masuk kerja baliklah. Sekarang kami dua-dua tiada punca pendapatan. Anak-anak sekolah, ada yang nak masuk universiti. Mereka perlukan belanja,” katanya.

Anak sulungnya, lelaki berusia 22 tahun, baru bekerja selama lapan bulan di Pasir Gudang, Johor, manakala anak-anak yang lain masih belajar.

Bagi Wan Norlida, kembali bekerja bukan sekadar soal kerjaya tetapi tentang kembali menyediakan keperluan untuk tujuh anaknya dan di situlah perjalanan Wan Norlida menemukan makna sebenar perlindungan keselamatan sosial.

Kemalangan yang berlaku hanya sehari selepas skim LINDUNG 24 Jam dikuatkuasakan telah mengubah cara dia melihat caruman yang dibuat selama 24 tahun.

Dia tidak mengetahui dirinya dilindungi ketika kemalangan berlaku. Namun selepas keluar hospital, wakil PERKESO datang ke rumah dan memaklumkan dia layak menerima perlindungan.

Daripada sesuatu yang sebelum ini dilihat sekadar potongan daripada pendapatan, caruman itu akhirnya menjadi jaringan keselamatan ketika dia sendiri tidak mampu bekerja dan keluarganya kehilangan sumber pendapatan.