Keuntungan Bersih Suku Pertama Southern Score Lonjak Kepada RM32.81 Juta
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 Southern Score Builders Bhd melonjak kepada RM32.81 juta berbanding RM15.02 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelum ini.
Pendapatan naik sebanyak 221 peratus kepada RM269.51 juta daripada RM83.93 juta selepas dipacu oleh prestasi kukuh dalam segmen perkhidmatan mekanikal dan elektrikal (M&E).
Melihat ke hadapan, syarikat pembinaan itu menjangkakan prestasinya pada tahun kewangan 2027, sebahagian besarnya akan disokong oleh kemajuan dalam projek pembinaan utamanya.
Ini termasuk projek PV 22 Residences, yang mempunyai baki tempahan dalam tangan berjumlah RM390 juta dan tempoh kontrak sehingga Ogos 2028, projek Platinum Melati Residences dengan baki tempahan dalam tangan sebanyak RM210.4 juta sehingga Mac 2029, selain kerja-kerja M&E yang sedang berjalan dengan baki tempahan dalam tangan pada paras RM482.58 juta.
“Kumpulan itu kekal optimistik dengan berhati-hati mengenai prospek sektor pembinaan, disokong oleh pembangunan infrastruktur yang berterusan, pengembangan industri dan peningkatan permintaan untuk pusat data dan kemudahan berkaitan.
“Kumpulan itu akan terus mengejar peluang projek yang berdaya maju dalam kedua-dua sektor awam dan swasta, dengan penekanan pada pusat data serta kerja-kerja pembinaan bangunan,” katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan itu menambah bahawa ia akan kekal fokus pada penetapan harga tender yang berhemat, pelaksanaan projek yang berkesan dan pengurusan kos untuk mengekalkan keuntungan selain mengukuhkan tempahan dalam tangannya.
-- BERNAMA