Keluasan Kawasan Tanaman Koko Negara Cecah 6,939 Hektar Setakat September 2026

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) - Keluasan keseluruhan kawasan tanaman koko negara meningkat kepada 6,939 hektar susulan pencapaian tanaman baharu melebihi 400 hektar setakat September 2026, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata menerusi Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan dan Program Peluasan Tanaman Koko dan Hasil Koko, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) komited untuk meningkatkan keluasan kawasan tanaman koko negara kepada 10,000 hektar menjelang  2030. 

“Melalui sasaran peluasan tanaman kepada 10,000 hektar menjelang 2030 serta usaha meningkatkan produktiviti, kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan biji koko tempatan kepada keperluan industri pengisaran secara berperingkat.

Ad Banner

“Matlamat ini bukan sekadar untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, tetapi juga untuk membangunkan semula sektor huluan koko negara, meningkatkan pendapatan pekebun kecil, mewujudkan peluang pekerjaan serta memastikan industri koko Malaysia terus berdaya saing dan mampan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai sasaran kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan bagi mengurangkan kebergantungan industri pengisaran kepada import, serta berapakah peratus pengurangan import yang disasarkan menjelang 2030.

Noraini berkata bagi mencapai sasaran 10,000 hektar itu KPK memberi tumpuan kepada lima pendekatan utama, iaitu peluasan kawasan tanaman melalui penglibatan sektor perladangan, pemulihan kebun koko sedia ada, peningkatan produktiviti melalui penyelidikan dan teknologi, pengukuhan kerjasama antara pengeluar dengan industri pengisaran dan penghasilan biji koko premium dan produk bernilai tinggi. 

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, katanya, pada 2025, jumlah pengisaran biji koko negara berjumlah sebanyak 294,697 tan, menjadikan Malaysia antara negara pengisar koko utama dunia.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 281 tan (0.01 peratus) merupakan biji koko tempatan, manakala selebihnya, iaitu 294,416 tan (99.99 peratus) merupakan biji koko yang diimport,” katanya.

Beliau berkata selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) untuk meningkatkan hasil biji koko kering daripada 0.2 tan sehektar pada 2025 kepada 0.56 tan sehektar menjelang  2030, KPK giat melaksanakan beberapa usaha menerusi Pelan Tindakan DAKN2030 untuk meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan secara berperingkat. 

-- BERNAMA