Petronas Chemicals Kembali Untung Pada Suku Ketiga, Catat Untung Bersih RM179 Juta

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Petronas Chemicals Group Bhd kembali mencatatkan keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2026 dengan keuntungan bersih sebanyak RM179 juta berbanding kerugian bersih RM289 juta pada suku sama tahun lepas.

Hasil bagi suku yang dikaji meningkat kepada RM7.62 bilion daripada RM6.78 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Petronas Chemicals berkata prestasi suku berkenaan sejajar dengan peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), meningkat RM1.7 bilion atau 93 peratus kepada RM3.4 bilion.

Ad Banner

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh purata margin produk yang lebih baik, sumbangan lebih tinggi daripada entiti operasi bersama dan segmen bahan kimia khusus, selain kos operasi loji yang lebih rendah.

“Hasil meningkat RM1.7 bilion atau lapan peratus berikutan peningkatan purata harga produk, yang sebahagiannya diimbangi oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS serta jumlah jualan yang lebih rendah,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM994 juta berbanding kerugian bersih RM1.39 bilion dalam tempoh sama tahun kewangan lepas. Hasil pula meningkat kepada RM22.54 bilion daripada RM20.88 bilion.

Ad Banner
Ad Banner

Mengenai prospek pasaran bahan kimia, Petronas Chemicals berkata prospek itu terus terjejas oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan dan pemulihan ekonomi yang tidak seimbang.

“Pasaran olefin dan derivatif terus berdepan tekanan akibat lebihan bekalan di rantau ini, manakala ketidaktentuan susulan ketegangan geopolitik boleh terus menyebabkan turun naik kos bahan suapan dan pengangkutan,” katanya.

Pasaran baja pula terus disokong oleh keperluan pertanian bermusim, keperluan keterjaminan makanan dan permintaan import yang stabil daripada pasaran utama, manakala harga metanol secara umumnya dijangka kekal stabil.

Permintaan daripada pasaran akhir bagi bahan kimia khusus dijangka kekal lemah, khususnya dalam sektor pembinaan, automotif dan barangan pengguna, dengan kelemahan bermusim dijangka berterusan pada suku keempat.

-- BERNAMA