JS-SEZ: Kerajaan Negeri Perkukuh Rantaian Bekalan, Bawa Limpahan Ekonomi Ke Johor Utara

ISKANDAR PUTERI, 24 Nov (Bernama) -- ​Kerajaan Negeri Johor sedang mempergiat usaha membawa limpahan ekonomi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ke Johor Utara menerusi pengukuhan rantaian bekalan di daerah-daerah yang lain.

Langkah itu dilaksanakan secara berfasa menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) berteraskan Agenda Maju Johor 2030, dengan melihat Johor Utara dan Johor Selatan sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata pengukuhan rantaian bekalan membuka ruang dan peluang ekonomi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengusaha tempatan dan penyedia perkhidmatan di utara.

Ad Banner

"Kerajaan negeri tidak melihat pembangunan Johor Utara dan Johor Selatan sebagai dua agenda yang terpisah, sebaliknya sebagai satu ekosistem ekonomi negeri yang saling melengkapi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Azahar Ibrahim (BN-Tenang) berhubung pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang kerajaan negeri bagi merapatkan jurang ekonomi, infrastruktur, pekerjaan dan kemudahan awam antara Johor Utara dengan Johor Selatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Dalam hal ini, Lee berkata sektor-sektor yang berpotensi menerima limpahan itu merangkumi pembuatan, pemprosesan agromakanan, pertanian, logistik, perdagangan dan perkhidmatan sokongan industri.

Ad Banner
Ad Banner

Bagi jangka pendek, tumpuan diberikan kepada Zon Keterjaminan Makanan Segamat seluas kira-kira 2,000 hektar, peruntukan RM32.12 juta bagi 27 projek agromakanan di Johor pada 2026 serta Pelan Tindakan JETP Segamat 2026-2030.

Bagi jangka sederhana pula, kerajaan negeri menumpukan pembangunan Pelabuhan Darat Segamat (SIP) dan Segamat JETP Talent & TVET Programme bagi mengukuhkan logistik serta bakat tempatan.

Turut diberi perhatian ialah projek IOI Coconut Oil Sdn Bhd (Fasa 2) bernilai RM130 juta (360,000 tan metrik setahun mulai 2027) dan ladang solar Lestra-Hexa JV Sdn Bhd (866 MWp) berserta BESS bernilai RM3.3 bilion di Mukim Sermin, Segamat (mula suku pertama 2027, beroperasi suku keempat 2028).

Bagi jangka panjang, pembangunan digerakkan melalui Rancangan Struktur Negeri Johor (RSNJ) termasuk semakan RSNJ 2040, selain projek Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi 2026 seperti tebatan banjir Sungai Chaah dan Lembangan Sungai Muar, jalan raya Muar-Tangkak-Segamat serta pelancongan.

Mengenai jurang pendapatan, Lee berkata pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah Johor meningkat 12.1 peratus daripada RM6,879 pada 2022 kepada RM7,712 pada 2024 berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam tempoh sama, beberapa daerah utara mencatat pertumbuhan lebih tinggi iaitu Muar (28.1 peratus), Segamat (21.3 peratus, daripada RM5,318 kepada RM6,451), Batu Pahat (19.0 peratus) dan Tangkak (13.4 peratus), berbanding Johor Bahru yang meningkat 9.1 peratus (daripada RM8,232 kepada RM8,977).

Perkembangan itu merapatkan jurang pendapatan penengah Segamat-Johor Bahru daripada 35.4 peratus pada 2022 kepada 28.1 peratus pada 2024, manakala kerajaan negeri menekankan kejayaan ekonomi mesti diukur melalui peningkatan taraf hidup rakyat di semua 10 daerah.

-- BERNAMA