Pelan Hala Tuju CCUS 2050 Garis 27 Inisiatif, Unjur Pelaburan Sehingga RM170 Bilion

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2050 menggariskan 27 inisiatif dengan unjuran pelaburan antara RM160 bilion dan RM170 bilion serta potensi pembangunan sehingga enam hab CCUS di Malaysia menjelang 2050, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata industri itu diunjurkan menjana nilai ditambah kasar terkumpul antara US$200 bilion dan US$250 bilion serta mewujudkan antara 150,000 dan 250,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung pada kemuncak operasi.

“Kerajaan telah mengenal pasti empat projek utama di bawah pelan hala tuju itu, termasuk pembangunan tapak penyimpanan karbon di Duyong, berhampiran Pahang.

Ad Banner

“Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan menerajui inisiatif itu dengan sasaran suntikan komersial pertama karbon dioksida (CO2) menjelang 2030,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju CCUS 2050 hari ini.

Beliau berkata pengalaman Malaysia dalam menguruskan industri minyak dan gas turut membekalkan kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan industri CCUS, khususnya dalam penyimpanan karbon.

 “Bagi pembangunan CCUS di Pantai Timur, pemerangkapan karbon akan dilakukan di Terengganu manakala terminalnya akan dibangunkan di Pahang. Kedua-dua negeri tersebut berpeluang meraih manfaat ekonomi daripada pembangunan industri itu, sekali gus membuka peluang pekerjaan di luar Lembah Klang,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Mengenai kerjasama serantau, Akmal Nasrullah berkata Malaysia sedang mengadakan perbincangan dengan Jepun, Korea Selatan dan Singapura berhubung CCUS, dengan memorandum persefahaman berkaitan kerjasama itu dijangka dimeterai tahun depan.

Pada masa yang sama, katanya Akta CCUS 2025 telah diwujudkan dan menyediakan kerangka bagi urusan eksport dan import CO2 manakala persefahaman antara kerajaan diperlukan bagi memperjelas tatacara pemindahan CO2 merentas sempadan.

Mengenai kebimbangan pertubuhan bukan kerajaan mengenai kos dan kesan CCUS terhadap alam sekitar, katanya kerajaan perlu menangani perkara itu secara terbuka dan mengambil kira kesannya terhadap masyarakat setempat dalam usaha Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Akmal Nasrullah berkata antara projek utama yang menggambarkan pelaksanaan pelan hala tuju itu ialah Southern CCS Hub, diterajui Petronas bersama Mitsui dan TotalEnergies.

Katanya projek ini melibatkan perancangan pembinaan terminal penerimaan CO2 di Kuantan, saluran paip luar pesisir sepanjang 245 kilometer dan kemudahan penyimpanan berkapasiti lima juta tan setahun di medan Duyong.

“Tiga lagi projek utama ialah National Carbon Capture Project serta Projek Dragon dan Projek Chlorobloom oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB),” katanya.

Beliau berkata projek ini melibatkan pemerangkapan karbon dalam industri dan penggunaan CO2 bagi penghasilan bahan api serta produk berasaskan alga.

“Sebagai tindakan susulan, kementerian sedang menggerakkan tiga kajian, iaitu penyediaan Pelan Tindakan Malaysia CCUS Roadmap 2050, Kajian Kluster Pelepasan dan Model Perniagaan CCUS serta Kajian Kluster Industri CCUS Pantai Timur,” katanya.

-- BERNAMA