Ringgit Dibuka Mendatar Berbanding Dolar AS, Kebanyakannya Kukuh Berbanding Mata Wang Utama
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Ringgit dibuka kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama tetapi tidak banyak berubah berbanding dolar AS pada Selasa, ini berikutan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menaikkan kadar faedah beberapa kali tahun depan terus menyokong mata wang itu.
Pada 8 pagi, ringgit berada pada paras 4.1205/1260 berbanding dolar AS, hampir tidak berubah berbanding paras 4.1205/1250 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) berlegar sekitar paras 104 mata susulan pendirian Fed yang cenderung kepada dasar monetari lebih agresif.
Beliau berkata Presiden Fed New York John Williams dalam ucapannya memberi petunjuk bahawa bank pusat itu perlu menurunkan inflasi kepada sasaran dua peratus, yang menurut jangkaannya berkemungkinan boleh dicapai pada 2028.
Mohd Afzanizam berkata hasil Perbendaharaan AS dua tahun meningkat lima mata asas kepada 4.69 peratus, dengan sekuriti bertempoh lebih singkat lazimnya mencerminkan jangkaan terhadap dasar monetari.
Perkembangan ini memberi gambaran bahawa terdapat kemungkinan beberapa kenaikan kadar faedah tahun depan. Oleh itu, ringgit dijangka terus berada di bawah tekanan berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, katanya kepada Bernama.
Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.4946/5006 daripada 4.5214/5264 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3707/3778 daripada 5.4032/4091. Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.5913/5950 daripada 2.5896/5925.
Berbanding mata wang negara ASEAN lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1905/1955 daripada 3.1949/1987 tetapi merosot berbanding baht Thailand kepada 12.1205/1460 daripada 12.1091/1274.
Mata wang tempatan itu tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 226.3/226.7 dan peso Filipina pada 6.45/6.46.
-- BERNAMA