BERITA TERKINI   Peguam Negara mohon menghadap Agong bagi memohon maaf dan zahir pendirian patuhi Perintah Pengampunan Bersyarat Najib - PMO | PM Anwar arah Peguam Negara menghadap Agong secepat mungkin, perjelas isu pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat | 

KWAP Raih Anugerah Global Menerusi Inisiatif Dana Pemacu RM6 Bilion

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) meraih anugerah dalam kategori Pelaburan pada Pensions & Investments (P&I) WorldPensionSummit Excellence & Innovation Awards menerusi inisiatif Dana Pemacu bernilai RM6 bilion.

Dilancarkan pada Mei 2024, Dana Pemacu menyalurkan modal institusi jangka panjang kepada syarikat tempatan yang berpotensi mencatat pertumbuhan tinggi serta sektor keutamaan negara, termasuk peralihan tenaga, penjagaan kesihatan dan ekonomi digital.

Anugerah itu disampaikan pada 5 Nov 2026 sempena persidangan tahunan P&I WorldPensionSummit yang berlangsung di The Hague, Belanda.

Ad Banner
Ad Banner

Model rakan kongsi umum bersama (co-general partner atau co-GP) yang diterapkan menerusi Dana Pemacu menggabungkan kepakaran firma pelaburan antarabangsa dengan pengurus dana tempatan, sekali gus menyediakan kerangka kepada dana pencen lain untuk membangunkan keupayaan pelaburan domestik sambil mengekalkan piawaian pelaburan yang ketat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Jay Khairil berkata kerjasama yang diwujudkan menerusi Dana Pemacu membantu KWAP menterjemahkan objektif pelaburan domestiknya kepada tindakan melalui sokongan kepada perniagaan dan projek di Malaysia.

"Ketika kami meneruskan pelaburan menerusi kerjasama ini, kami akan terus berusaha mendapatkan pulangan mampan terlaras risiko bagi membantu Kerajaan memenuhi obligasi pencen jangka panjangnya," katanya dalam kenyataan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Jay Khairil turut merakamkan penghargaan kepada pasukan KWAP atas usaha membangunkan dan memajukan Dana Pemacu, selain Kementerian Kewangan atas kepimpinannya dalam menghimpunkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan menerusi program GEAR-uP serta menyediakan hala tuju yang jelas bagi pelaburan domestik.

Dana Pemacu turut menyokong Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan bagi meningkatkan pelaburan langsung domestik dalam sektor keutamaan negara.

Pada 2025, KWAP memperuntukkan RM1.2 bilion kepada 12 pengurus dana menerusi inisiatif itu.

KWAP kekal komited untuk menguruskan dana secara berhemat, telus dan bertanggungjawab selaras dengan mandat statutori untuk membantu Kerajaan Persekutuan memenuhi obligasi pencennya kepada pesara sektor awam.

-- BERNAMA