BERITA TERKINI   Peguam Negara mohon menghadap Agong bagi memohon maaf dan zahir pendirian patuhi Perintah Pengampunan Bersyarat Najib - PMO | PM Anwar arah Peguam Negara menghadap Agong secepat mungkin, perjelas isu pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat | 

MITI Kenakan Duti Anti-lambakan Sementara Ke Atas Import Keluli Dari China, Taiwan, Vietnam

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenakan duti anti-lambakan sementara antara 4.41 peratus hingga 35.06 peratus ke atas import produk gulungan rata dari China, Taiwan dan Vietnam, berkuat kuasa hari ini.

MITI memaklumkan bahawa duti sementara itu akan dikenakan untuk tempoh sehingga 120 hari bagi mengelakkan kemudaratan selanjutnya terhadap industri tempatan, susulan penentuan awal yang mendapati terdapat bukti mencukupi untuk meneruskan penyiasatan.

Penyiasatan itu melibatkan import produk gulungan rata keluli aloi lain dan keluli bukan aloi yang disadur atau disalut aluminium dan zink, yang berasal atau dieksport dari ketiga-tiga negara berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

"Penyiasatan anti-lambakan itu dimulakan pada 17 Julai 2026 selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, susulan petisyen yang dikemukakan oleh NS Bluescope Malaysia Sdn Bhd bagi pihak industri tempatan.

"Pempetisyen mendakwa produk berkenaan diimport ke Malaysia pada harga lebih rendah berbanding harga jualan di pasaran domestik negara berkenaan, dan keadaan itu telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia," menurut MITI dalam kenyataan.

MITI memaklumkan penentuan awal itu dibuat di bawah Seksyen 23 Akta 504. Kerajaan memutuskan untuk mengenakan langkah sementara dalam bentuk duti anti-lambakan yang dijamin melalui jaminan bank bersamaan dengan margin lambakan yang dikenal pasti.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Penentuan muktamad dijangka dibuat selewat-lewatnya pada 6 Mac 2027, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA