Kemudahan Panel Tanpa Tunai ITO Tertakluk Kepada Terma Kontrak, Prosedur – HPPSC
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pengendali insurans dan takaful (ITO) boleh menyemak semula, menarik balik atau menyekat keistimewaan tanpa tunai penyedia penjagaan kesihatan jika mereka gagal mematuhi terma kontrak yang dipersetujui, prosedur tuntutan atau keperluan lain yang berkaitan.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Kongsi Penjagaan Kesihatan (HPPSC) menjelaskan bahawa keputusan tersebut adalah berdasarkan keadaan yang berkaitan dan dikendalikan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Penarikan balik keistimewaan kemudahan tanpa tunai penyedia penjagaan kesihatan itu tidak bermakna perlindungan insurans perubatan atau takaful pemegang polisi atau pemegang sijil telah ditarik balik.
“Pemegang polisi atau pemegang sijil masih boleh mengemukakan tuntutan bagi rawatan yang layak diterima di penyedia penjagaan kesihatan berlesen, sama ada penyedia itu berada dalam senarai panel ITO itu atau tidak, ia tertakluk kepada terma dan syarat polisi atau sijil mereka serta mengikut prosedur tuntutan yang terpakai,” menurut HPPSC dalam satu kenyataan hari ini.
Kemudahan tanpa tunai itu merupakan pengaturan pentadbiran yang ditawarkan oleh ITO bagi memudahkan akses kepada rawatan perubatan tanpa mewajibkan pemegang polisi dan pemegang sijil membayar penuh bil perubatan terlebih dahulu, tertakluk kepada terma polisi dan pengaturan berkenaan.
HPPSC juga mengakui wujud kebimbangan baru-baru ini mengenai pengaturan panel tanpa tunai dan persoalan yang dibangkitkan mengenai akses kepada rawatan serta kesinambungan penjagaan.
“Jawatankuasa ini kekal komited untuk menyokong akses pesakit kepada penjagaan kesihatan berkualiti sambil terus menyumbang kepada kemampanan dan kemampuan jangka panjang untuk penyelesaian insurans perubatan dan kesihatan serta takaful bagi semua rakyat Malaysia,” menurut HPPSC lagi.
Pada masa sama, HPPSC menekankan kembali komitmennya untuk menyediakan platform kolaboratif bagi penyedia penjagaan kesihatan dan pihak kepentingan dalam pembiayaan penjagaan kesihatan bagi mengatasi cabaran sistemik, mengukuhkan protokol operasi serta membangunkan penyelesaian praktikal untuk manfaat pesakit dan pemegang polisi.
-- BERNAMA