Bursa Malaysia Dijangka Dalam Fasa Konsolidasi Minggu Depan, Diniagakan Antara Paras 1,600-1,630
Oleh K. Naveen Prabu & Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam fasa konsolidasi minggu depan dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur diniagakan dalam jajaran 1,600 hingga 1,630 dengan kecenderungan positif secara sederhana.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prospek pasaran kekal optimis namun berhati-hati, dengan aktiviti pembelian terpilih terhadap saham pada harga rendah terutama saham-saham mewah yang mempunyai asas kukuh dijangka menyokong pasaran tempatan.
“Indeks petunjuk pasaran menunjukkan daya tahan pada paras sekitar 1,600 mata minggu ini walaupun pergerakan berterusan melepasi paras 1,620 mata dijangka sukar dicapai tanpa penglibatan belian yang lebih kukuh.
“Pada minggu depan, pelabur juga akan memantau keputusan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 November dan pengumuman keputusan kewangan korporat yang akan datang,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan Malaysia yang dijadual diumumkan pada 2 November akan menjadi petunjuk penting bagi menilai momentum asas ekonomi negara.
Beliau berkata bacaan bulan sebelumnya menyusut di bawah paras 50 mata, menandakan aktiviti sektor pembuatan mengalami penyusutan.
“Penurunan selanjutnya boleh menimbulkan kebimbangan terhadap daya tahan sektor pembuatan terutama dalam keadaan kos tenaga yang lebih tinggi dan ketidaktentuan luaran.
“Sebaliknya, peningkatan bacaan PMI boleh mengukuhkan keyakinan terhadap asas ekonomi domestik dan memberikan sokongan kepada pasaran ekuiti tempatan,” kata Mohd Sedek.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.04 mata kepada 1,615.60 mata daripada 1,611.56 mata pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 68.28 mata kepada 12,061.73 mata, Indeks FBM Top 100 naik 66.25 mata kepada 11,863.86 mata manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 139.34 mata kepada 12,082.91 mata.
Indeks FBM ACE naik 57.77 mata kepada 5,403.91 mata manakala Indeks FBM Mid 70 naik 250.36 mata kepada 17,420.69 mata.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 17.49 mata kepada 852.16 mata, Indeks Perladangan menokok 19.94 mata kepada 8,697.42 mata, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.97 mata kepada 178.37 mata dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 106.33 mata kepada 18,547.99 mata.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.53 bilion unit bernilai RM9.97 bilion daripada 14.21 bilion unit bernilai RM12.55 bilion pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 5.13 bilion unit bernilai RM8.83 bilion daripada 7.68 bilion unit bernilai RM11.15 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.99 bilion unit bernilai RM608.01 juta daripada 4.15 bilion unit bernilai RM514.80 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menyusut kepada 2.07 bilion unit bernilai RM788.72 juta daripada 2.37 bilion unit bernilai RM889.53 juta pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA