Belanjawan 2027: MPM Kemuka Enam Cadangan Perkasa Ekonomi Bumiputera
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Memperluas akses kontraktor dan usahawan Bumiputera kepada peluang perniagaan, memperkukuh pembiayaan serta membantu syarikat tempatan menembusi pasaran modal adalah antara enam cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) bagi memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera menerusi Belanjawan 2027.
Cadangan itu merupakan hasil Sidang Meja Bulat Belanjawan 2027 yang dianjurkan oleh MPM melalui Jawatankuasa Kebangsaan Merekayasa Agenda Ekonomi Bumiputera di sini semalam.
MPM dalam kenyataan memaklumkan enam bidang utama yang dibincangkan merangkumi bidang perolehan dan kontraktor, pembiayaan usahawan, pelaburan dan pengembangan syarikat, aset dan hartanah, tenaga hijau serta industri halal dan ekonomi Islam.
“Rumusan yang dikemukakan menonjolkan keperluan menutup jurang akses kepada peluang ekonomi, meningkatkan keupayaan perusahaan dan memperkukuh penyelarasan agensi pelaksana.
“Antara kebimbangan yang diketengahkan ialah penumpuan peluang perolehan kepada pihak yang mempunyai kelebihan modal, kekangan pembiayaan dan pembangunan kapasiti perusahaan kecil serta cabaran menyediakan syarikat Bumiputera untuk berkembang ke tahap lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.
Dalam aspek perolehan, MPM mencadangkan peluasan akses dana dan projek mega bernilai RM500 juta dan ke atas kepada koperasi serta persatuan Bumiputera yang aktif dan berkelayakan, selain meningkatkan penglibatan kontraktor kecil menerusi pelaksanaan projek berskala besar.
Cadangan lain termasuk pengenalan semula program Kontraktor Bumiputera Wibawa, memperluas pendekatan mentor menti serta menyediakan laluan kemajuan gred kontraktor.
Bagi memperkukuh pembiayaan usahawan, MPM mencadangkan insentif percukaian atau kredit cukai kepada organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program bimbingan bersama usahawan Bumiputera, selain menggalakkan bank perdagangan menawarkan pembiayaan kredit mikro.
“Bagi usahawan wanita yang bersalin, dicadangkan moratorium pembayaran balik pembiayaan selama tiga bulan, khususnya apabila mereka merupakan pemilik tunggal atau personel utama yang kritikal kepada operasi perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam usaha membawa syarikat Bumiputera ke tahap lebih tinggi, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dicadangkan bekerjasama membangunkan program Step-Up untuk mengenal pasti, membimbing dan menyediakan syarikat Bumiputera yang berpotensi ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia.
Bagi pengoptimuman aset dan hartanah Bumiputera, MPM mencadangkan penubuhan kemudahan geran atau pembiayaan pusingan yang diselaraskan agensi peneraju bagi menangani kekangan perundangan dan pentadbiran tanah, termasuk melalui pelaksanaan projek rintis ke atas tanah bermasalah yang mempunyai potensi komersial.
Sementara itu, dalam sektor tenaga hijau, kerajaan disaran memperluas insentif pengajian lanjutan, latihan teknikal dan pembangunan kemahiran dalam tenaga hijau serta tenaga boleh baharu, di samping meneliti mekanisme harga serta pengagihan peluang perolehan bagi memastikan penyertaan lebih adil.
Cadangan keenam memberikan tumpuan kepada pemerkasaan halal dan ekonomi Islam menerusi pengukuhan kerangka dasar halal nasional yang menyeluruh, penyediaan bantuan pendanaan dan insentif percukaian serta penyelarasan kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC) dan MATRADE.
MPM turut mencadangkan taman industri halal dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kerajaan negeri dan sektor swasta bagi menyediakan kemudahan bersama seperti ruang pengeluaran, peralatan, latihan, khidmat nasihat dan sokongan pematuhan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“MPM berpandangan bahawa cadangan yang terhasil daripada persidangan ini wajar diteliti secara tersusun oleh kementerian, agensi pelaksana dan institusi berkaitan.
“Penambahbaikan dasar perlu memberikan tumpuan kepada peluasan akses yang saksama, pengukuhan keupayaan pelaksana, penyelarasan rentas agensi dan petunjuk prestasi yang dapat diukur,” menurut MPM.
-- BERNAMA