Pulau Pinang Peruntuk RM15 Juta Jayakan Penganjuran Sukan SEA 2027 - Chow
GEORGE TOWN, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi menjayakan penganjuran Sukan SEA 2027, yang menyaksikan Pulau Mutiara menjadi antara empat kluster temasya sukan berkenaan pada September tahun depan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata peruntukan itu disalurkan secara berperingkat kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) pada tahun ini dan 2027 bagi memastikan persiapan serta kelancaran penganjuran acara sukan di negeri berkenaan.
Beliau berkata Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada enam acara sukan, iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong serta floorball.
“Persiapan bagi Kluster Pulau Pinang kini telah mencapai tahap kesiapsiagaan 90 peratus melibatkan kemudahan dan lokasi pertandingan termasuk SPICE Arena dan Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept dengan Pulau Pinang menjadi tuan rumah bagi enam sukan manakala Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing akan menganjurkan 18 sukan sementara Johor menjadi tuan rumah bagi bola sepak.
Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM7.15 juta kepada MSNPP bagi memperkukuh pembangunan dan kecemerlangan sukan negeri khususnya pembangunan atlet.
Beliau berkata sebanyak RM5 juta turut disediakan kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang bagi menaik taraf selain menambah baik kemudahan serta infrastruktur sukan negeri.
Chow berkata selain itu, RM2.8 juta diperuntukkan pada 2027 bagi memperkukuh peranan agensi dan pertubuhan belia sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam memacu agenda pembangunan serta pemerkasaan generasi muda.
“Ia merangkumi RM1.5 juta kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang dan RM1.3 juta kepada Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP),” katanya.
Beliau berkata JBPP kini mempunyai 384 ahli yang ditempatkan di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri selain penglibatan 10,976 sukarelawan belia yang turut berperanan aktif dalam menjayakan agenda pembangunan belia negeri.
Persidangan DUN bersambung Isnin ini.
-- BERNAMA