BERITA TERKINI   Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diberi perhatian serius - PM Anwar | Malaysia, Thailand muktamad rundingan lebarkan muara Sungai Golok dalam tempoh sebulan - PM Anwar | ADUN Mata Ayer Wan Badariah Wan Saad meninggal dunia pada 4.26 petang ini di Kangar - Ketua Penerangan PAS Perlis | 

Pembangunan Infrastruktur Taman Negara Perlu Utamakan Pemuliharaan Biodiversiti - Ahli Akademik

Oleh Afifitri Muhammad

KUANTAN, 30 Okt (Bernama) -- Pembangunan infrastruktur pelancongan di Taman Negara perlu mengambil kira aspek pemuliharaan biodiversiti kawasan itu dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Pengarah Institut Sultan Iskandar (ISI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Norhazliza Abd Halim berkata pembangunan infrastruktur perlu dirancang selaras dengan keperluan pengurusan pengunjung dan pemuliharaan kawasan berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata naik taraf jeti misalnya, dapat menjadikannya pintu masuk utama bagi membolehkan pihak berkuasa mengawal aktiviti dan memantau pergerakan pelancong.

Norhazliza yang juga Ketua Tourism Planning Research Group UTM berkata penetapan had daya tampung pengunjung penting bagi menentukan jumlah pelancong yang boleh memasuki kawasan berkenaan tanpa menjejaskan ekosistem semula jadi.

“Jadi, perlu ada kajian untuk menentukan daya tampung pengunjung khususnya di kawasan yang mempunyai nilai pemuliharaan tinggi dan habitat yang unik. Jumlah pengunjung juga boleh disesuaikan mengikut musim serta keperluan pemuliharaan kawasan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata penyelarasan dasar dan garis panduan antara agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan, jabatan perhutanan dan agensi teknikal, perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan infrastruktur tidak menjejaskan habitat semula jadi.

“Penggunaan bahan mesra alam, penetapan zon kawasan sensitif serta pemantauan berterusan juga penting bagi mengelakkan pencerobohan, mengurangkan hakisan dan meminimumkan konflik antara manusia dengan hidupan liar,” katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong bebas di Taman Negara Pahang Sabri Abdullah berkata penambahbaikan prasarana jeti perlu mengambil kira keperluan pelbagai pengguna termasuk pelancong, penduduk kampung, pengusaha bot dan restoran serta nelayan.

“Pelbagai golongan menggunakan jeti yang sama, jadi kita perlu memastikan kemudahan yang disediakan mampu menampung keperluan pengguna terutama ketika musim puncak,” katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas berkata kerajaan akan menaik taraf kemudahan infrastruktur pelancongan seperti jeti dan memulihara tapak warisan yang berpotensi diiktiraf UNESCO, termasuk Danum Valley di Sabah, Lembah Bujang di Kedah serta Taman Negara di Pahang.

Menerusi laman web UNESCO, Taman Negara yang meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan disenaraikan dalam Senarai Tentatif sebagai tapak yang berpotensi untuk dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Taman Negara merupakan antara kawasan daratan tertua di Semenanjung Malaysia berusia lebih 130 juta tahun, selain menjadi kawasan tumpuan biodiversiti yang menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna termasuk spesies endemik, jarang ditemui, rentan atau terancam di Malaysia. 

-- BERNAMA