Kelulusan Belanjawan 2027 Di Peringkat Dasar Akhiri Minggu Keempat Persidangan Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di peringkat dasar selepas dua minggu dibahaskan menjadi antara perkembangan utama persidangan Dewan Rakyat minggu ini, yang turut menyaksikan isu tatakelola, reformasi institusi, pembangunan negara dan kebajikan rakyat mendapat perhatian.
Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt lepas mendapat persetujuan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada Khamis, sekali gus membuka laluan kepada perbahasan di peringkat jawatankuasa yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 26 Nov.
Selain perbahasan mengenai hala tuju perbelanjaan negara menerusi Belanjawan 2027, persidangan minggu ini turut tertumpu kepada usaha memperkukuh tatakelola entiti milik kerajaan, pemulihan aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam menjayakan agenda kesejahteraan rakyat.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa, Anwar memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan RUU Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi berkaitan, sekali gus mengelakkan penyelewengan seperti yang pernah berlaku membabitkan 1MDB, Felda dan Tabung Haji.
Beliau berkata cadangan itu bertujuan mewujudkan peruntukan undang-undang dan peraturan yang lebih jelas bagi memastikan setiap entiti milik kerajaan, termasuk syarikat subsidiarinya, tertakluk kepada mekanisme kawal selia yang berkesan.
Anwar turut menegaskan tidak boleh ada campur tangan politik dalam penentuan projek dan pelaburan GLC serta GLIC bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara profesional, teliti dan berhemah.
“Institusi berkaitan kerajaan yang diberi mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam perlu menjadi contoh dalam amalan tadbir urus baik, khususnya dari segi integriti, ketelusan dan akauntabiliti pengurusan,” katanya.
Soal pembangunan Sabah dan Sarawak juga mendapat perhatian apabila Perdana Menteri mempertahankan keputusan kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan lebih besar kepada kedua-dua negeri berdasarkan keperluan geografi dan infrastruktur.
Agenda reformasi institusi pula terus menjadi tumpuan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan beberapa syor dasar bagi penggubalan RUU Pendanaan Politik akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) dalam masa terdekat.
Menurut beliau, syor berkenaan akan melalui proses penelitian dan mendapatkan maklum balas lanjut sebelum dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Dalam sektor tenaga, Suruhanjaya Tenaga sedang membangunkan kerangka dan garis panduan menyeluruh berkaitan kemudahan penjanaan elektrik sendiri serta penggunaan tenaga boleh baharu bagi sektor pusat data.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjelaskan langkah kerajaan memenuhi keperluan tenaga sektor berkenaan.
Di sebalik perbahasan mengenai dasar dan tatakelola, isu yang menyentuh kehidupan seharian rakyat termasuk kesihatan, alam sekitar, keselamatan dalam talian dan kos sara hidup turut mewarnai persidangan menerusi sesi soal jawab serta penggulungan perbahasan Belanjawan 2027.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kementeriannya bakal memperkenalkan konsep hospital cottage di kawasan pedalaman, selain memperluas penyumberluaran perkhidmatan hospital kepada 16 bidang pada 2027 sebagai antara usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam.
Dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi perubahan cuaca, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan membawa cadangan penyediaan pelan tindakan berkaitan kemarau kepada Majlis Pengurusan Bencana Negara bagi memperkukuh persediaan menghadapi impak fenomena El Nino.
Isu kos sara hidup pula disentuh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menyifatkan pelaksanaan BUDI MADANI sebagai antara kejayaan negara dalam penyasaran subsidi, bukan sahaja bagi mengurangkan beban rakyat malah membendung ketirisan subsidi bahan api.
Dengan perbahasan di peringkat dasar selesai, tumpuan Dewan Rakyat selepas ini beralih kepada penelitian Belanjawan 2027 di peringkat jawatankuasa, apabila peruntukan setiap kementerian akan dibahaskan secara lebih terperinci bermula minggu depan.
Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 37 hari dijadual berakhir pada 8 Dis.
-- BERNAMA