Am 25/11/2026 11:39 AM

Kemasukan Tahun Satu Usia Enam Tahun Perlu Disokong Sistem Penjagaan Menyeluruh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kemasukan Tahun Satu Usia Enam Tahun Perlu Disokong Sistem Penjagaan Menyeluruh
-- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan dasar kemasukan kanak-kanak ke tahun satu pada usia enam tahun mulai 2029 perlu disertai perancangan menyeluruh yang turut mengambil kira keperluan penjagaan selepas waktu persekolahan, khususnya bagi keluarga yang kedua-dua ibu bapa bekerja.

Pengasas dan Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia Ng Chun Piew berkata perkara itu perlu diberikan perhatian bagi memastikan peralihan murid yang lebih muda daripada pendidikan prasekolah kepada pendidikan sekolah rendah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran serta rutin persekolahan.

“Kejayaan reformasi pendidikan bergantung pada sokongan dasar yang menyeluruh, persediaan yang mencukupi untuk memasuki alam persekolahan serta usaha bersama pihak sekolah, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ng berkata kerajaan juga disaran mempertimbangkan penglibatan Pusat Jagaan Kanak-Kanak (PJKK) berdaftar dalam perancangan reformasi pendidikan negara bagi memenuhi keperluan penjagaan kanak-kanak selepas tamat sesi persekolahan.

Beliau berkata PJKK bukan sekadar menyediakan perkhidmatan penjagaan selepas sekolah, malah berperanan sebagai sebahagian daripada sistem sokongan sosial yang menyumbang kepada pembentukan sahsiah serta perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.

Kemudahan itu juga membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan proses pembelajaran, sekali gus menyokong perkembangan mereka secara holistik.

Dalam pada itu, Ng berkata persatuan menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan dasar berkenaan secara berperingkat dengan harapan ia dapat menyokong tumbesaran dan perkembangan holistik kanak-kanak.

Beliau berkata persatuan itu bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi membangunkan sistem sokongan pendidikan serta penjagaan kanak-kanak yang lebih menyeluruh, inklusif dan mampan.

Semalam, Kementerian Pendidikan memaklumkan bercadang untuk mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu mulai sesi persekolahan 2029, dengan persiapan pelaksanaan inisiatif itu telah dilaksanakan secara berterusan bermula tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, kemasukan murid berusia enam tahun akan ditawarkan secara pilihan pada 2027 dan 2028 sebelum diwajibkan sepenuhnya pada 2029.

-- BERNAMA