Ekonomi 20/11/2026 09:53 PM

Kurang Halangan Perdagangan Tingkat Keyakinan Perniagaan Melabur Di ASEAN – Tengku Zafrul

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kurang Halangan Perdagangan Tingkat Keyakinan Perniagaan Melabur Di ASEAN – Tengku Zafrul
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kurangnya halangan perdagangan yang tidak perlu terutamanya halangan tarif serta ketidakpastian akan memberikan keyakinan kepada perniagaan untuk melabur di ASEAN, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul menerusi temu bual video yang disiarkan di media sosial berkata ini merupakan ukuran kejayaan yang praktikal bagi urusan perniagaan dan komersial, serta kerjasama antara kerajaan, dengan merujuk kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China. 

Beliau berkata ASEAN dan China merupakan rakan dagang terbesar antara satu sama lain, dengan nilai perdagangan mencecah hampir US$1 trilion pada 2025, meningkat  hampir 18 peratus.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, katanya.

"Apabila kita melihat pelaburan langsung asing dari China yang masuk ke ASEAN, jumlahnya menghampiri US$26 bilion.

“Jadi, ia signifikan dan penting… dan kami sedang meneliti pelbagai bidang yang boleh ditambah baik antara ASEAN dan China… itulah sebabnya mengapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China yang telah dinaik taraf penting,” katanya.

Apabila ditanya mengenai kepentingan China kepada ASEAN di tengah-tengah ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat, Tengku Zafrul berkata kedua-dua pihak kini saling berkait melalui sektor pembuatan, pelaburan, infrastruktur, teknologi, serta rantaian bekalan serantau.

"Situasinya agak mencabar, memandangkan apa yang sedang berlaku dalam ekonomi dunia hari ini serta pelbagai cabaran lain, bukan sekadar dari sudut ekonomi sahaja.

“Dan kita tahu bagi Malaysia dan ASEAN, China sangat penting dalam daya tahan ekonomi ASEAN,” katanya.

Beliau berkata  ASEAN dan China memainkan peranan penting dalam menyokong kelangsungan rantaian bekalan antara kedua-dua pihak, ketika rantaian bekalan sedang distrukturkan semula berdasarkan aspek keterjaminan dan daya tahan.

Mengenai pemudahan perdagangan, Tengku Zafrul turut mengetengahkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang katanya akan merangkumi perdagangan digital di rantau ini.

"ASEAN baru sahaja memuktamadkan dan menandatangani DEFA, satu inisiatif perintis yang merangkumi perdagangan digital di bawah kerangka kerjanya yang mana melalui inisiatif ini, perdagangan elektronik dalam pasaran ASEAN dijangka meningkat sehingga US$2 trilion menjelang 2030.

“Jadi, perkara ini penting kerana kita membincangkan tentang pemudahan perdagangan, dan sudah tentu, dengan kemajuan teknologi, kita turut menyentuh mengenai kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, rantaian bekalan serta pelaburan tenaga,” katanya.

-- BERNAMA