RIYADH, 8 Nov (Bernama-SPA) -- Sebuah bangunan pentadbiran milik Saudi Aramco di Riyadh menjadi sasaran percubaan serangan pada Ahad yang mengakibatkan kerosakan kecil tanpa sebarang kemalangan jiwa, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Sumber rasmi di Kementerian Tenaga memaklumkan bahawa serpihan yang terjatuh menyebabkan kerosakan kecil pada bangunan berkenaan, tanpa sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan.
Menurut sumber itu lagi, pihak berkuasa berkaitan bertindak pantas menangani insiden terbabit dan telah mengambil langkah-langkah yang perlu.
Sementara itu, jurucakap rasmi Gabungan bagi Memulihkan Legitimasi di Yaman, Mejar Jeneral Turki Al-Malki berkata sebuah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang dilancarkan oleh Kumpulan Houthi ke arah wilayah selatan Arab Saudi telah berjaya dipintas dan dimusnahkan.
-- BERNAMA-SPA