Politik 08/11/2026 09:04 PM

PH Pergiat Usaha Raih Sokongan Pengundi Muda - Muhammad Kamil

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PH Pergiat Usaha Raih Sokongan Pengundi Muda - Muhammad Kamil
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.

ALOR GAJAH, 8 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mempergiat usaha meraih sokongan pemilih muda, khususnya yang kali pertama mengundi menerusi pendekatan kempen lebih bersasar termasuk penggunaan media sosial dan pertemuan secara bersemuka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata pendekatan kempen perlu disesuaikan dengan perubahan kaedah komunikasi masa kini, terutamanya dalam mendekati golongan muda yang lebih terdedah kepada penggunaan media sosial.

"Walaupun media sosial penting sebagai medium kempen, pendekatan tradisional menerusi pertemuan secara langsung dengan pengundi tidak boleh diketepikan.

“Kita ini berurusan dengan manusia, mereka memerlukan sentuhan peribadi. Setiap calon yang bertanding kena sedaya upaya berjumpa dengan semua pengundi di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Batu Lesung, di sini hari ini.

Muhammad Kamil berkata beliau telah menjelajah hampir semua kawasan yang ditandingi PH di negeri ini, dengan beberapa kawasan lagi akan dikunjungi dalam baki lima hari kempen sebagai sebahagian usaha meraih sokongan pengundi.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata jentera parti juga dijangka meningkatkan usaha mendekati pengundi dalam minggu kedua kempen bagi meyakinkan mereka terhadap tawaran PH, di samping meningkatkan peratusan keluar mengundi.

"Kita berharap momentum kempen yang baik ini dapat diteruskan sehingga hari mengundi, dan sudah tentu lebih agresif pada baki hari berkempen untuk pastikan kita dapat meyakinkan lebih ramai pengundi," katanya. 

Mengulas mengenai kawasan tumpuan, beliau berkata ketika ini PH memberikan perhatian terhadap 15 kerusi DUN dalam usaha memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

“Insya-Allah jentera kita di setiap 15 kawasan tumpuan ini akan bekerja keras untuk pastikan ada perubahan yang berlaku di negeri Melaka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 10 Nov manakala hari pengundian pada 14 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA