Am 08/11/2026 08:39 PM

Polis Perinci Tindakan Kes Amang Seksual Kanak-kanak 11 Tahun Di Pulau Pinang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Perinci Tindakan Kes Amang Seksual Kanak-kanak 11 Tahun Di Pulau Pinang
Datuk Dennis Lim Kwang Keng

GEORGE TOWN, 8 Nov (Bernama) -- Polis hari ini memperinci tindakan dalam kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang didakwa menjadi mangsa amang seksual bapa kandungnya susulan laporan guru besar sekolah mangsa pada 16 Okt tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata laporan itu diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada 11.15 pagi sebelum suspek ditahan pada kira-kira 5.30 petang hari yang sama.

"Suspek kemudian direman hingga 24 Okt 2025 sebelum dituduh di Mahkamah Balik Pulau pada tarikh berkenaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

"Kes itu kini dalam perbicaraan, dan tarikh sebutan mahkamah seterusnya ditetapkan pada 11 Nov 2026," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mengulas mengenai kebajikan mangsa, beliau berkata kanak-kanak itu pada awalnya diletakkan di bawah jagaan sementara neneknya pada 16 Okt 2025 kerana ibu kandungnya berada di Singapura ketika itu.

Lim berkata mangsa kemudian dirujuk ke Pusat Krisis Sehenti (OSCC) Hospital Pulau Pinang pada 17 Okt 2025 dan dimasukkan ke wad pediatrik hingga 21 Okt tahun sama sebelum Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Barat Daya menyerahkan kanak-kanak itu kepada ibu kandungnya pada hari sama.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan salah faham berhubung kes itu.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Berapit Heng Lee Lee mempersoal tindakan membenarkan mangsa kembali ke persekitaran yang didakwa turut didiami suspek berbanding ditempatkan di bawah perlindungan pihak berkuasa.

Heng menyifatkan kejadian itu sebagai kegagalan sistem perlindungan kanak-kanak selain membangkitkan isu kelemahan penyelarasan antara polis, hospital dan JKM dalam mengendalikan kebajikan mangsa.

-- BERNAMA