Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 6 Nov (Bernama) – Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) telah menjalin rangkaian strategik yang merangkumi sekurang-kurangnya 200 pihak berkepentingan di Singapura dalam usaha memperkukuh hubungan pelaburan, perdagangan dan perniagaan antara Johor dengan republik itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Shahrin Rahmat berkata rangkaian itu merangkumi kumpulan perniagaan dan industri seperti Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Singapura (SCCCI), Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmChamSG) dan Dewan Perniagaan Jerman di Singapura.
Beliau berkata, hubungan yang terjalin itu menyediakan platform untuk mempromosikan peluang pelaburan di Johor, khususnya di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain memudah cara padanan perniagaan dan kerjasama jangka panjang.
“Peranan JETCO bersifat saling melengkapi dan lebih tertumpu kepada peringkat awal. Kami mengenal pasti peluang, membuka ruang, menjalin hubungan, memudah cara urusan dan menghubungkan pelabur yang berpangkalan di Singapura, dewan perniagaan serta rakan dagang dengan pihak berkepentingan dan agensi yang bersesuaian di Johor,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Mohd Shahrin berkata Johor merekodkan pelaburan yang diluluskan kira-kira RM110 bilion pada 2025, tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia, diikuti RM59.4 bilion pada separuh pertama 2026, sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan kedua tertinggi.
Dalam JS-SEZ, pelaburan yang diluluskan mencecah RM76.98 bilion pada 2025, dengan 57 peratus daripadanya telah direalisasikan, manakala Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) mengendalikan 285 pertanyaan berkaitan pelaburan yang berpotensi bernilai RM74.12 bilion antara Januari hingga Mei 2026.
Selain mempromosikan pelaburan, JETCO turut memperluas inisiatifnya ke sektor pelancongan menerusi program JETCO Connect yang dilancarkan pada 2025 dan dipertingkatkan kepada JETCO Connect 2.0 pada Ogos 2026.
Program itu menghimpunkan 40 penggiat industri pelancongan Singapura dan 40 penggiat industri pelancongan Johor, yang menghasilkan sembilan pakej pelancongan yang sedia dipasarkan dan disesuaikan dengan pasaran Singapura, termasuk pakej ke Desaru yang kini telah ditawarkan secara rasmi di pasaran.
Mengenai pembangunan bakat, Mohd Shahrin berkata JETCO bekerjasama dengan Rome Business School dalam program Kompetensi Pengurusan Rantaian Bekalan yang menyaksikan 66 peserta daripada 19 syarikat dalam ekosistem JS-SEZ menamatkan program itu pada Jun 2026.
Program itu dilaksanakan dalam dua kumpulan antara November 2025 hingga April 2026, merangkumi 30 kelas interaktif yang dibahagikan kepada lima modul meliputi rantaian bekalan mampan dan digital, ketangkasan, keselamatan siber serta rantaian bekalan global yang dinamik
Inisiatif yang mendapat sokongan Majlis Pembangunan Bakat Johor, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan TalentCorp itu bertujuan memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi permintaan industri dan pelaburan yang semakin meningkat, kata beliau.
JETCO turut menganjurkan program suai kenal yang melibatkan pemain-pemain industri JS-SEZ, termasuk Ecoceres Inc dan Bridge Data Centre, bagi memperkenalkan warisan, budaya dan tarikan pelancongan di Johor, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat antara Johor dan Singapura.
– BERNAMA