Am 04/11/2026 07:38 PM

1,781 Anggota, Pegawai Polis Ditugaskan Sempena Deepavali

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
1,781 Anggota, Pegawai Polis Ditugaskan Sempena Deepavali
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad (dua, kiri) mengedarkan beg cenderahati kepada peniaga ketika mengadakan lawatan ke Bazar Deepavali Jalan Trus di sini, hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU, 4 Nov (Bernama) -- Seramai 1,781 pegawai dan anggota polis akan digerakkan di seluruh Johor menerusi Ops Cahaya bermula Sabtu ini hingga Isnin depan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang sambutan Deepavali.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata operasi itu membabitkan pelbagai jabatan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Beliau berkata tumpuan bukan sahaja diberikan kepada aspek pencegahan jenayah malah turut meliputi pemantauan kesesakan lalu lintas dan penguatkuasaan kesalahan trafik khususnya di kawasan titik panas yang dikenal pasti berpotensi mengalami kesesakan.

"Sepanjang tempoh ini, kita menggerakkan sebanyak 1,781 pegawai polis termasuk anggota pelbagai jabatan yang ada di Negeri Johor… kita bukan hanya fokus kepada jenayah, kita juga fokus kepada isu kesesakan lalu lintas dan juga kesalahan trafik," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra Polis Johor sempena Deepavali di Tapak Bazar Deepavali di Jalan Trus di sini hari ini.

Ab Rahaman juga berkata pihaknya menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memaklumkan polis mengenai ketiadaan mereka di rumah apabila pulang ke kampung atau bercuti sempena Deepavali.

Beliau berkata aplikasi percuma itu, yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), juga membolehkan pengguna menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah dan menggunakan fungsi butang kecemasan untuk mendapatkan bantuan dengan segera.

"Statistik dari Januari hingga Oktober 2026 menunjukkan sebanyak 5,294 maklumat diterima daripada orang ramai yang memaklumkan mereka akan meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung berbanding 4,425 maklumat dalam tempoh sama tahun lepas… ini peningkatan sebanyak 869 maklumat atau kira-kira 20 peratus," katanya.

Bagaimanapun, Ab Rahaman berkata jumlah itu masih rendah berbanding populasi Johor yang hampir empat juta orang, justeru orang ramai digalakkan memanfaatkan aplikasi berkenaan bukan sahaja ketika musim perayaan malah dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata sambutan Deepavali pada Ahad ini dijangka menyaksikan peningkatan pergerakan orang ramai berikutan cuti panjang dari Jumaat hingga Isnin termasuk mereka yang mengambil kesempatan pulang ke kampung atau bercuti di luar Johor.

Justeru itu, orang ramai digesa agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah melalui VSP atau menghubungi balai polis berhampiran.

-- BERNAMA