KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,542 kes direkodkan menerusi Ops Tiris Bersepadu 4.0 melibatkan nilai rampasan berjumlah RM59.9 juta serta menahan 514 individu sejak mula dilaksanakan pada 16 Mac hingga 20 Okt 2026 bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata dalam tempoh sama, sebanyak 125,690 pemeriksaan dijalankan menerusi operasi melibatkan pelbagai agensi yang turut merangkumi penguatkuasaan di kawasan sempadan darat dan laut.
“Di sempadan darat, sebanyak 357 kes direkodkan dengan nilai rampasan RM10.77 juta manakala di laut, sebanyak 275 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM12.29 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Fuziah menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai jumlah kes, nilai ketirisan, rampasan dan tangkapan menerusi operasi itu, khususnya di kawasan sempadan serta punca kelemahan kawalan dan tindakan menangani penyeludupan berulang.
Mengenai punca ketirisan, Fuziah berkata pelaksanaan dasar subsidi pukal sebelum ini antara kelemahan yang membuka ruang kepada penyeludupan berikutan harga barangan kawalan bersubsidi di Malaysia lebih rendah berbanding harga pasaran di negara jiran.
Beliau berkata peralihan kepada subsidi bersasar menerusi Budi MADANI RON95, Budi MADANI Diesel, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) serta subsidi bersasar minyak masak paket yang digabungkan dengan operasi bersepadu dapat membantu mengawal ketirisan.
Menjawab soalan tambahan Sh Mohmed Puzi mengenai tindakan pendakwaan dan kompaun, Fuziah berkata sebanyak 23 kes telah didakwa di mahkamah setakat 20 Okt manakala 248 kes dikenakan kompaun.
Beliau berkata nilai keseluruhan denda yang dikenakan berjumlah RM290,000 manakala nilai kompaun mencecah RM950,900 dengan baki kes masih dalam siasatan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai tindakan kerajaan menangani kemasukan dan lambakan ternakan serta sayur dari luar negara yang menjejaskan pengusaha tempatan, Fuziah berkata kegiatan penyeludupan di sempadan menjadi cabaran besar kepada pihak penguat kuasa.
Beliau berkata keadaan geografi di kawasan seperti Sungai Golok, Kelantan yang hanya dipisahkan oleh sungai kecil menyukarkan pemantauan berterusan bagi mengekang kegiatan itu.
Beliau turut menegaskan kepentingan tanggungjawab rakyat untuk tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan yang berlaku sejak sekian lama.
-- BERNAMA