Daripada Hasnah Jusid
SAMARKAND (Uzbekistan), 22 Okt (Bernama) – Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melihat peluang untuk mengembangkan kerjasamanya dengan Malaysia dalam mengukuhkan dasar perlindungan sosial berfokuskan kanak-kanak, khususnya dalam membangunkan program bantuan yang lebih berkesan untuk keluarga daripada kumpulan rentan.
Penasihat Kanan Perlindungan Sosial Bahagian Program Global UNICEF Pamela Dale berkata organisasi itu telah menjalin kerjasama kukuh dengan Malaysia, dengan potensi untuk kerjasama selanjutnya dalam membangunkan sistem perlindungan sosial, menambah baik program bantuan dan menilai sumber kewangan yang diperlukan.
"Saya amat berbesar hati untuk mengatakan bahawa kami mempunyai pejabat UNICEF yang aktif di Malaysia dan kerjasama yang utuh.
Saya berpendapat sentiasa ada ruang untuk kami mengembangkan kerjasama jika ada minat daripada rakan kongsi," katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Pelaburan Dunia dalam Kesejahteraan Kanak-Kanak: Laluan Ke Arah Pembangunan Mampan dan Adil untuk Generasi Akan Datang di sini, Rabu.
Di Malaysia, agensi PBB itu telah bekerjasama dengan agensi kerajaan dan rakan kongsi lain dalam inisiatif yang bertujuan meningkatkan kebajikan kanak-kanak, termasuk program pemakanan tambahan tunai ASUH KL untuk keluarga berpendapatan rendah.
Menurut Laporan Tahunan UNICEF Malaysia 2025, inisiatif itu, yang dilaksanakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan disokong oleh Kementerian Kewangan, telah mendaftarkan 650 kanak-kanak bawah lima tahun dan ibu mengandung di rumah kos rendah serta menyediakan RM150 sebulan di samping bimbingan pemakanan dan sokongan komuniti.
Mengenai program bantuan kewangan Malaysia untuk keluarga berpendapatan rendah, Dale berkata bantuan tunai yang direka bentuk dengan baik dan dibiayai secukupnya boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan kemiskinan kanak-kanak selain menjana faedah jangka panjang.
Beliau berkata penyelidikan berdekad-dekad telah menunjukkan bahawa program perlindungan sosial yang berkesan boleh memberikan kelegaan segera kepada isi rumah golongan rentan sambil membolehkan keluarga melabur dalam pendidikan anak-anak mereka, pemakanan, penjagaan kesihatan, pembangunan keseluruhan dan peluang masa depan.
Dale berkata UNICEF mempunyai pengalaman luas bekerja dengan kerajaan dan rakan kongsi di seluruh Asia Tenggara dan global, menyediakan kepakaran teknikal dan memudahkan pertukaran amalan terbaik dalam perlindungan sosial.
Katanya kerjasama UNICEF dengan kerajaan meliputi pelbagai bidang termasuk pembangunan sistem perlindungan sosial, program bantuan individu, latihan kos dan penilaian pelaburan untuk membantu penggubal dasar menentukan sumber kewangan yang diperlukan.
Menurut Dale, platform antarabangsa turut menyediakan peluang berharga kepada Malaysia dan negara peserta lain untuk saling bertukar pengalaman dan belajar secara langsung daripada inisiatif diterajui kerajaan yang berjaya.
“Kami telah bekerjasama dengan rakan kongsi di Asia Tenggara dan di seluruh dunia dalam segala-galanya daripada pembangunan sistem perlindungan sosial sehinggalah program individu, mengusahakan perkara seperti kos dan kes pelaburan supaya kerajaan mengetahui sumber kewangan yang diperlukan untuk membangunkan program,” katanya.
Ditanya mengenai kelemahan dalam sistem perlindungan sosial di seluruh Asia Tenggara, Dale berkata negara-negara menghadapi keadaan dan titik permulaan yang berbeza, menyukarkan untuk mengenal pasti satu cabaran serupa yang menjejaskan seluruh rantau.
Bagaimanapun, beliau berkata kebimbangan bersama ialah keperluan untuk memastikan sistem perlindungan sosial kekal responsif terhadap keadaan global yang berubah pantas, termasuk anjakan demografi, perubahan iklim, bencana alam dan konflik.
"Sistem perlindungan sosial perlu direka bentuk untuk dunia yang berubah dan berubah dengan sangat pantas," katanya.
Dale berkata sesetengah negara mengalami populasi yang semakin tua manakala yang lain telah mengembangkan populasi belia, memerlukan kerajaan menyesuaikan dasar perlindungan sosial mereka untuk memenuhi keperluan yang berubah-ubah.
Beliau berkata peningkatan kesan krisis dan konflik berkaitan iklim turut menekankan kepentingan membangunkan sistem yang mampu menyampaikan bantuan segera apabila berlaku kecemasan.
"Untuk melakukan itu, sistem benar-benar perlu dibangunkan dengan cara yang membolehkan pengembangan dan penguncupan," katanya.
Dale menegaskan bahawa pelaburan berterusa penting bagi memastikan mekanisme perlindungan sosial dapat bertindak balas dengan berkesan kepada cabaran masa kini dan memberikan bantuan tepat pada masanya kepada komuniti rentan.
Sidang kemuncak dua hari itu, yang bermula Rabu, menghimpunkan kira-kira 600 wakil kerajaan, badan antarabangsa dan pakar dari lebih 100 negara untuk membincangkan pelaburan dalam kesejahteraan kanak-kanak termasuk perlindungan sosial, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan mampan.
– BERNAMA