Am 21/10/2026 02:45 PM

WHO, Weill Cornell Ketengahkan Penuaan Sihat Pada Persidangan Perubatan Gaya Hidup

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
WHO, Weill Cornell Ketengahkan Penuaan Sihat Pada Persidangan Perubatan Gaya Hidup
Profesor Adjung Dr Siva Poobalasingam - Kredit: MSLM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan berkongsi kepakaran globalnya dalam bidang kesihatan awam pada Persidangan Perubatan Gaya Hidup Malaysia ke-6, yang memberi tumpuan kepada peranan penjagaan kesihatan pencegahan dalam menggalakkan penuaan sihat serta menangani penyakit kronik.

Persidangan yang berlangsung di sebuah hotel di sini dari 24 hingga 26 Okt itu akan menampilkan simposium khas WHO bertemakan Building Health Where Life Happens - Advancing Lifestyle Medicine Approaches in Healthy Settings through the Life Course.

Presiden Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) Profesor Adjung Dr Siva Poobalasingam berkata persidangan itu akan menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi meneroka bagaimana perubatan gaya hidup dapat membantu mencegah penyakit kronik serta menggalakkan penuaan sihat.

“Perubatan gaya hidup menggunakan perubahan gaya hidup berasaskan bukti, termasuk pemakanan sihat, aktiviti fizikal secara berkala, tidur yang mencukupi dan pengurusan tekanan untuk mencegah serta mengurus penyakit, di samping meningkatkan kesihatan secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Rabindra Abeyasinghe akan menyampaikan ucaptama dan menyertai perbincangan panel pakar pada persidangan itu.

Simposium WHO itu adalah kesinambungan projek rintis bersama WHO dan Kementerian Kesihatan di Seremban 2, yang menunjukkan potensi intervensi gaya hidup dalam membantu pesakit mencapai remisi atau pengurangan gejala penyakit diabetes tahap 2 sehingga ke tahap tertentu tanpa memerlukan rawatan berterusan.

Persidangan bertemakan Lifestyle Medicine: The Foundation of Longevity Medicine itu turut memberikan tumpuan kepada tempoh kehidupan sihat, iaitu bilangan tahun seseorang hidup dalam keadaan sihat, berbanding jangka hayat semata-mata.

Satu lagi acara utama ialah simposium bersama antara MSLM dengan Weill Cornell Medicine-Qatar bertemakan Leading the Future of Healthcare: Integrating Lifestyle Medicine into Health Systems.

Dekan dan Ketua Pegawai Eksekutif Weill Cornell Medicine-Qatar Profesor Dr Javaid I. Sheikh akan menyampaikan Syarahan Khas Dekan dan menyertai perbincangan panel pakar mengenai pengintegrasian perubatan gaya hidup ke dalam sistem penjagaan kesihatan.

Pakar dari Harvard Medical School, Weill Cornell Medicine-Qatar, National University of Singapore dan Asia Pacific Longevity Medicine Society turut berkongsi kepakaran mereka dalam bidang perubatan gaya hidup serta perubatan panjang umur.

Dr Siva berkata persidangan itu diadakan tepat pada masanya, ketika Malaysia bersiap sedia untuk menjadi negara menua menjelang 2030, sekali gus menekankan keperluan membantu golongan warga emas mengekalkan kesihatan, keupayaan bergerak dan kebebasan menjalani kehidupan.

Pendaftaran dibuka kepada golongan profesional penjagaan kesihatan serta peserta lain yang berminat menerusi https://lifestylemedicinemalaysia.org.

-- BERNAMA