BEIJING, 21 Okt (Bernama-CMG) -- China merekodkan kira-kira 192 juta pergerakan keluar masuk individu pada suku ketiga tahun ini, meningkat 7.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut Pentadbiran Imigresen Kebangsaan (NIA) China pada Selasa.
Daripada jumlah itu, seramai 8.99 juta pengembara asing memasuki China menerusi dasar pengecualian visa, merangkumi 77.5 peratus daripada keseluruhan ketibaan pengembara asing dan angka itu meningkat 24.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut NIA, 10 negara yang mencatatkan jumlah pelancong tertinggi ke China ialah Rusia, Korea Selatan, Vietnam, Malaysia, Amerika Syarikat, Mongolia, Jepun, Singapura, Thailand dan Australia.
Pelancong dari 10 negara itu menyumbang kira-kira 63.9 peratus daripada keseluruhan pengembara asing ke China.
-- BERNAMA-CMG