KUCHING, 20 Okt (Bernama) -- Sebanyak 39,122 pekebun kecil lada dengan keluasan tanaman 8,168 hektar direkodkan di Sarawak setakat September 2026.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata lada Sarawak terus mendapat harga yang premium di pasaran antarabangsa.
“Harga purata Free on Board (FOB) bagi lada hitam Malaysia (ASTA) ialah kira-kira RM37,649 bagi setiap tan metrik, kekal stabil secara relatif berbanding tempoh yang sama pada 2025.
“Sementara itu, purata harga FOB bagi lada putih Malaysia (FAQ) meningkat kira-kira 2.6 peratus, daripada RM48,373 kepada RM49,642 bagi satu tan metrik,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Dr Rundi berkata kesemua angka ini mencerminkan nilai berterusan lada tempatan dalam segmen pasaran premium.
“Walau bagaimanapun, harga eksport yang agak tinggi berbanding negara pesaing mewujudkan cabaran berterusan terhadap daya saing harga.
“Justeru, usaha perlu terus ditumpukan untuk meningkatkan kualiti produk, pengukuhan kebolehkesanan, peluasan akses pasaran serta pembangunan produk hiliran bernilai lebih tinggi bagi meningkatkan daya saing dan kelestarian industri lada Sarawak, di samping memelihara kepentingan dan mata pencarian pekebun kecil lada kita,” katanya.
-- BERNAMA