KOTA BHARU, 20 Okt (Bernama) -- Kebangkitan semula bola sepak Kelantan memerlukan kesatuan semua pihak berkepentingan dan komitmen kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk membina pengurusan persatuan yang lebih tersusun, profesional serta mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata semua pihak perlu mengetepikan perbezaan dan mengutamakan kepentingan bola sepak negeri bagi memastikan usaha mengaktifkan semula persatuan itu dapat diterjemahkan kepada pembangunan yang berterusan.
Beliau berkata Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) KAFA pada 26 Nov ini menjadi langkah penting ke arah pembentukan kepimpinan baharu yang diharapkan mampu membawa perubahan positif kepada hala tuju bola sepak Kelantan.
“Sebagai Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, saya mengharapkan semua pihak berkepentingan dapat bersatu hati, mengetepikan perbezaan dan meletakkan kepentingan bola sepak sebagai keutamaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Zamakhshari berkata kepimpinan baharu juga perlu merancang hala tuju persatuan secara strategik dengan mengambil kira aspek kewangan, kebajikan pemain, pembangunan fasiliti dan kesinambungan prestasi.
Beliau berkata pembangunan bakat akar umbi, pencarian pemain muda serta pengukuhan sistem kejurulatihan juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan bola sepak Kelantan mempunyai asas yang kukuh untuk berkembang pada masa hadapan.
Menurut Zamakhshari, kebangkitan KAFA bukan sahaja penting untuk mengembalikan daya saing pasukan di pentas pertandingan, malah membina ekosistem bola sepak yang mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.
“Bola sepak Kelantan milik kita bersama, kita bina semula dengan kesatuan, perancangan dan kesungguhan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KAFA bakal diaktifkan semula menerusi EGM pada 26 Nov ini apabila 15 jawatan eksekutif bakal dipertandingkan.
-- BERNAMA