KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pariti Gender dalam Perwakilan Politik bagi meningkatkan penyertaan wanita kepada 30 peratus masih dalam penelitian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bagaimanapun mengakui perkara itu tidak mudah untuk dilaksanakan dan memerlukan sokongan pemimpin politik.
“Kami tidak putus asa dan kami akan teruskan. Kami cuba melihat perbandingan dengan negara-negara lain. Bagaimana negara lain yang (melaksanakan) wanita sahaja atau kerusi khas untuk wanita sahaja.
“… tetapi kami juga perlu mendapat persetujuan dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin politik. Kalau pemimpin politik tidak memberi peluang ini kepada kami (wanita), maka kami masih juga sukar (mencapai sasaran),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai cadangan penggubalan RUU berkenaan, yang pernah dibangkitkan sebelum ini bagi meningkatkan penglibatan wanita sebagai perwakilan politik kepada 30 peratus.
Nancy ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai status pelaksanaan Dasar Wanita Negara (DWN) 2025-2030 berkata ia dipantau dua kali setahun menerusi papan pemuka pemantauan bagi memastikan inisiatif memperkasa wanita dalam bidang ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan mencapai matlamat ditetapkan.
Beliau berkata kemajuan pelaksanaan inisiatif DWN 2025-2030 seterusnya akan dilaporkan kepada Majlis Wanita dan Keluarga Negara serta mesyuarat utama di peringkat kementerian.
“Pada masa ini, kesemua inisiatif di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030 sedang berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan dan menjadi visi kerajaan untuk memastikan pelaksanaan DWN yang dirancang membawa manfaat yang nyata kepada wanita,” katanya.
Nancy berkata kajian penilaian separuh penggal akan dilaksanakan pada 2028 bagi menilai keberkesanan pelaksanaan DWN serta mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan.
Menjawab soalan tambahan Saifuddin mengenai strategi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik, Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaksanakan program Perantis bagi memberi peluang kepada wanita menonjolkan bakat dan potensi kepimpinan mereka.
Beliau berkata program itu telah memberi manfaat kepada 5,369 wanita sepanjang 2024 dan 2025 menerusi latihan dan bimbingan yang melibatkan 125 tokoh wanita manakala sehingga Ogos 2026, sebanyak 3,375 peserta dibimbing oleh 78 tokoh wanita.
Nancy berkata penyertaan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi sektor awam turut menunjukkan kemajuan, dengan golongan itu merangkumi 39.4 peratus setakat Disember 2025, melepasi sasaran 30 peratus bagi peringkat pembuat keputusan.
-- BERNAMA