Am 19/10/2026 12:56 PM

Warga Perbendaharaan Digesa Amalkan Prinsip 'ATM' Percepat Pelaksanaan Belanjawan 2027 - KSP

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Warga Perbendaharaan Digesa Amalkan Prinsip 'ATM' Percepat Pelaksanaan Belanjawan 2027 - KSP
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) -- Warga Kementerian Kewangan (MOF) digesa mengamalkan prinsip Amanah, Tangkas dan Mudah Cara (ATM) bagi memperkukuh tatakelola serta mempercepat pelaksanaan dasar dan program kerajaan di bawah Belanjawan 2027.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata prinsip itu turut menekankan keperluan menjadikan MOF sebagai contoh kepada kementerian dan agensi lain dalam melaksanakan pembaharuan tatakelola, di samping memastikan setiap peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara berkesan untuk kepentingan rakyat.

Berucap pada majlis perhimpunan Kementerian Kewangan hari ini, beliau berkata elemen amanah perlu menjadi asas utama warga Perbendaharaan, khususnya dalam memastikan ketelusan dan integriti pengurusan kewangan awam.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan. Hadir sama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Johan berkata antara pembaharuan perlu dilaksanakan termasuk penguatkuasaan Akta Perolehan Kerajaan tahun depan serta pendedahan perincian semua kontrak kerajaan termasuk perolehan secara rundingan terus, kecuali yang melibatkan isu keselamatan.

Selain itu, beliau berkata MOF akan menggubal Akta Entiti Milik Kerajaan bagi memperkukuh tatakelola pelaburan dan perolehan entiti milik kerajaan, termasuk badan berkanun dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

"Dalam aspek tatakelola, Perdana Menteri juga mengumumkan MOF akan menggubalkan Akta Entiti Milik Kerajaan untuk memperkukuh tatakelola terutamanya dalam aspek pelaburan dan juga perolehan oleh entiti milik kerajaan termasuk badan berkanun dan juga syarikat MKD.

“Hasrat Perdana Menteri ialah supaya kita elak elakkan penyelewengan yang berlaku sama ada di 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)  supaya tidak berulang lagi pada masa depan," katanya.

Bagi elemen tangkas pula, Johan berkata warga kementerian diingatkan supaya meningkatkan kecekapan dan kepantasan dalam membuat keputusan serta memudah cara pelaksanaan projek kerajaan, mengambil kira jangkaan rakyat yang semakin tinggi.

Beliau berkata KSN telah mengeluarkan arahan supaya semua kementerian dan pegawai memulakan perancangan serta proses perolehan lebih awal bagi memastikan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dapat dilaksanakan segera memandangkan pelaksanaan projek kerajaan lazimnya hanya mula menunjukkan perkembangan pada suku kedua tahun berkenaan.

"Jadi MOF juga akan cuba memberi contohnya kebenaran untuk melaksanakan proses perolehan tanpa menunggu waran peruntukan itu dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Johan berkata prinsip mudah cara menuntut warga MOF supaya tidak hanya tertumpu kepada pematuhan prosedur, sebaliknya turut mencari penyelesaian bagi membantu kementerian dan agensi lain melaksanakan program yang memberi manfaat kepada negara.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha memudah cara itu perlu dilaksanakan dalam ruang lingkup kuasa dan peraturan sedia ada, selain memastikan setiap projek memberikan nilai terbaik untuk wang serta tidak merugikan kerajaan.

Pada masa sama, Johan berkata warga MOF disaran menjadikan usaha membantu rakyat khususnya golongan rentan sebagai petunjuk prestasi Utama (KPI) bagi tahun hadapan.

"Saya menggalakkan semua untuk mengamalkan KPI untuk berbuat baik, bantu orang lain melalui kuasa yang kita ada. Saya harap perkara itu dapat diamalkan selain membantu Perdana Menteri menjayakan agenda Ekonomi MADANI, melaksanakan dan menyegerakan program di bawah Belanjawan 2027 dan secara keseluruhan menyokong agenda kerajaan untuk tahun depan dan tahun-tahun seterusnya," katanya.

-- BERNAMA