Am 19/10/2026 07:21 PM

Istana Selangor Serah Polis Siasat Kes Menyamar Pengawal Peribadi Raja Muda

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Istana Selangor Serah Polis Siasat Kes Menyamar Pengawal Peribadi Raja Muda

SHAH ALAM, 19 Okt (Bernama) -- Pentadbiran Istana Selangor memandang serius berhubung kes individu yang didakwa menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor, sehingga memperdayakan orang awam bagi meraih keuntungan peribadi.

Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, adil dan telus.

“Pentadbiran Istana Selangor, mengambil maklum dan menerima laporan-laporan polis berkaitan individu yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada DYTM Raja Muda Selangor sehingga memperdayakan orang awam, bagi mempercayai urusan penjualan tanah dan kereta mewah untuk meraih keuntungan peribadi.

“Pentadbiran Istana Selangor memandang serius terhadap isu ini dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus.

“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini,” menurut kenyataan itu. 

Sehubungan dengan itu, orang awam dimohon supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berkaitan apa-apa dakwaan yang mengatakan kedudukan individu terlibat dengan nama istana dalam membuat sebarang urusan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan menerima satu laporan polis pada 15 Okt, daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Istana Mestika berhubung perkara itu.

“Laporan dibuat berhubung satu hantaran di platform Threads oleh pemilik profil ‘dwan_hamid’ yang mendakwa terdapat seorang lelaki Melayu yang mengaku sebagai ADC kepada Raja Muda Selangor dan menggunakan gambar baginda untuk memperdaya orang awam dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan serta disyaki telah mengambil wang.

“Susulan itu satu kertas telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai berwaspada dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. 

-- BERNAMA