IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di empat stesen pemantauan di Perak menunjukkan penurunan, namun aktiviti di luar sekolah masih tidak dibenarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata larangan itu berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang merangkumi aktiviti seperti perkhemahan dan sukan.
"Sekolah beroperasi seperti biasa, aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu dilaksanakan di dalam kelas seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan … begitu juga program motivasi yang perlu dijalankan di dalam kelas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Gema Warisan Rakan Muda X Himpunan Mahabbah Pendekar Negeri Perak Tahun 2026 di sini, hari ini.
Mengulas persediaan menghadapi peperiksaan besar termasuk Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Khairudin berkata sebarang keperluan untuk menangguhkan peperiksaan berkenaan perlu dibincangkan bersama oleh agensi berkaitan.
“Kita lihat IPU di Perak semakin baik dan berharap UPKK, SPM serta peperiksaan lain dapat berjalan lancar tahun ini,” katanya.
Pada 15 Okt lepas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memaklumkan semua sekolah di negeri itu terus beroperasi seperti biasa, namun ibu bapa diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang aspek kesihatan berikutan keadaan jerebu semasa.
-- BERNAMA