Am 18/10/2026 10:30 AM

APM Terus Iktiraf Media Sebagai Rakan Strategik, Jalin Pelbagai Aktiviti Bersama

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
APM Terus Iktiraf Media Sebagai Rakan Strategik, Jalin Pelbagai Aktiviti Bersama

KLUANG, 18 Okt (Bernama) -- Program ‘Jalinan Strategik’ yang dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama media zon selatan adalah langkah dan usaha pasukan itu untuk memperkukuh serta mengiktiraf media sebagai rakan strategik mereka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Pj (PA) Ghazali Abd Rahman berkata pihaknya berharap agar kerjasama berkenaan akan berterusan bagi membantu APM memberikan kefahaman kepada masyarakat terhadap fungsi dan tanggungjawab agensi berkenaan.

Beliau berkata pihak media perlu diberi kefahaman terlebih dahulu sebelum mereka menghebahkan maklumat kepada masyarakat, selain turut diberi peluang mendalami dan merasai sendiri tugasan serta tanggungjawab yang dilaksanakan oleh APM.

“Ia bagi memastikan setiap hebahan berkaitan amaran cuaca, operasi menyelamat, bantuan khidmat kemanusiaan dan langkah-langkah keselamatan sampai kepada masyarakat dengan cepat, tepat serta bertanggungjawab, sekali gus membentuk tindakan yang betul serta berkesan bagi mengurangkan risiko bencana yang akhirnya mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda.

“Saya berharap hubungan strategik yang terjalin antara APM dan pihak media akan terus diperkasakan sebagai satu jaringan komunikasi antara dua pihak,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Jalinan Strategik APM Bersama Media Zon Selatan 2026 di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS), Kluang.

Ghazali berkata APM juga berharap persefahaman yang positif, terutama mengenai pengurusan bencana negara, akan terus dijadikan platform untuk meningkatkan kesedaran awam dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap keupayaan agensi keselamatan negara. 

“Dalam operasi menyelamat, anggota APM berada di barisan hadapan. Namun sebelum operasi bermula, pihak media pula berada di barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) yang juga Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak berkata kerjasama yang terjalin bersama APM itu membuka ruang kepada pengamal media untuk merasai pengalaman baharu.

Beliau berkata kerjasama itu tidak akan dilaksanakan sekali sahaja dan pihaknya akan terus memastikan ia berterusan serta mempunyai kesinambungan selepas ini.

“Apa yang kami peroleh hari ini adalah antara aktiviti menyelamat asas daripada APM. Pada masa akan datang, kami di pihak media mengharapkan adanya kerjasama serta usaha menimba ilmu dan pengalaman dalam aktiviti menyelamat yang lebih mencabar daripada pasukan penyelamat ini,” katanya.

Seorang pengamal media dari Bernama Biro Johor Nur Faradilla Mohamad, 34, berkata aktiviti semasa program jalinan strategik yang dilaksanakan di PULAPAS, Kluang itu adalah pengalaman pertama beliau melakukan aktiviti menyelamat bersama APM.

“Ia disifatkan sebagai detik yang paling mendebarkan dan penuh adrenalin, namun memberikan satu kepuasan yang tidak ternilai apabila berjaya menghabiskan tugasan yang mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, bagi wartawan Kosmo Adnan Ibrahim, 57, aktiviti itu dapat menguji kemampuan fizikal dan mental para wartawan dengan melakukan sendiri perkara yang dilakukan oleh anggota penyelamat yang sebelum ini hanya dilihat serta dilaporkan.

Program jalinan strategik itu melibatkan 33 pengamal media dari zon selatan, iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, serta merangkumi sesi teori dan praktikal menerusi aktiviti Latihan Pengenalan Ruangan Terhad (Confined Space) dan Latihan Pengenalan Ascending dan Descending (A&D).

-- BERNAMA