LENGGONG, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak menyambut baik kelulusan tujuh daripada sepuluh projek keutamaan yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan di bawah Belanjawan 2027 menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata antara projek yang diluluskan termasuk pembangunan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh serta pembinaan kemudahan pendidikan baharu di Sitiawan dan Chemor.
Beliau berkata antara projek yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan ialah Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Sepetang serta pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Proton City di Tanjong Malim.
“Kelulusan ini amat bermakna kerana projek-projek berkenaan menyentuh secara langsung keperluan rakyat, khususnya dalam meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik, serta memperkukuh aspek keselamatan dan perlindungan daripada risiko bencana," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Moh Sukses Sijil Pelajaran Malaysia 2026 Tuisyen Cikgu Saarani daerah Hulu Perak di Dewan Merdeka Lenggong, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saarani berkata Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi dan kedudukan strategik Perak sebagai antara negeri yang mampu memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Pengiktirafan tersebut dapat dilihat menerusi perhatian khusus yang diberikan kepada dua daripada lima nod pertumbuhan utama negeri, iaitu Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim dan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) selain kelulusan tujuh daripada sepuluh projek keutamaan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri.
Saarani berkata secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 sebagai satu perkembangan yang bermakna kepada Perak, khususnya dalam memperkukuh agenda pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
"Pengumuman untuk memperhebat pembangunan LuMIC sebagai hab maritim dan memperkukuh AHTV sebagai hab automotif serantau memperlihatkan keselarasan antara perancangan pembangunan kerajaan negeri dengan keutamaan ekonomi negara.
"Lebih penting, pengumuman ini memberikan dorongan kepada usaha menjadikan Perak sebagai antara hab perindustrian utama negara, dengan potensi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh ekosistem industri serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat," katanya.
Saarani berkata dalam konteks AHTV, pemberian potongan cukai hingga RM5 juta bagi kos penempatan semula yang layak kepada vendor automotif milik tempatan sepenuhnya yang berpindah ke kawasan berkenaan ialah insentif yang berpotensi mempercepat pembentukan rantaian bekalan industri automotif di Tanjong Malim.
Selain itu, sebanyak 95 projek dan program baharu turut diluluskan di Perak di bawah Rolling Plan 2 (RP2) RMK13 dengan siling peruntukan berjumlah RM2.938 bilion, manakala peruntukan bagi 2027 adalah sebanyak RM150.5 juta.
"Saya percaya keseluruhan pengumuman ini akan memberikan dorongan tambahan kepada momentum pembangunan negeri, lebih-lebih lagi apabila disokong oleh pelbagai inisiatif nasional yang menumpukan kepada pengurangan kos sara hidup, pembangunan modal insan, pendidikan, kesihatan dan pengukuhan perusahaan tempatan," katanya.
Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat yang memperuntukkan RM510 bilion bagi mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyat pada semua peringkat.
-- BERNAMA