Politik 17/10/2026 05:21 PM

Bersama Rehatkan Nik Nazmi Tiga Bulan - Presiden

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bersama Rehatkan Nik Nazmi Tiga Bulan - Presiden

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi Parti Bersama Malaysia (Bersama) selama tiga bulan berkuat kuasa 20 Okt ini hingga 19 Jan 2027.

Presiden Bersama Syukri Razab berkata tindakan itu diambil susulan pengakuan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan berhubung penglibatan beliau dalam satu kes yang tersebar baru-baru ini.

“Bersama memandang serius perkembangan ini dan berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya, demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti,” katanya.

Beliau berkata keputusan berkenaan perlu dan munasabah, tanpa menafikan sumbangan serta komitmen Nik Nazmi kepada perjuangan Bersama sejak parti itu dilancarkan semula pada Mei lepas.

Terdahulu, Nik Nazmi mengesahkan beliau ialah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lepas, sambil berkata akan memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan.

JAIS sebelum itu mengesahkan penahanan dua individu termasuk figura awam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA