Dunia 17/10/2026 03:41 PM

IMF Unjur Jepun Jatuh Ke Tangga Keenam Ekonomi Dunia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
IMF Unjur Jepun Jatuh Ke Tangga Keenam Ekonomi Dunia

BANGKOK, 17 Okt (Bernama-Kyodo) -- Jepun dijangka merosot ke tangga keenam ekonomi terbesar dunia pada 2027, apabila India dan Britain dijangka mengatasinya dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), lapor Kyodo News.

Sejak 2023, Jepun menduduki tangga keempat di belakang AS, China dan Jerman.

Unjuran KDNK yang dikeluarkan IMF awal bulan ini dibuat ketika nilai yen terus lemah berbanding dolar AS, selain pertumbuhan ekonomi Jepun yang perlahan.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) IMF, KDNK nominal Jepun diunjurkan mencecah US$4.3419 trilion pada 2026 dan US$4.4676 trilion pada 2027.

Pengiraan bagi kedua-dua tahun itu dipercayai berdasarkan kadar pertukaran sekitar 158 yen bagi setiap dolar AS.

Sementara itu, KDNK India dijangka meningkat kepada US$4.5211 trilion pada 2027, sekali gus melonjak daripada tangga keenam ke tangga keempat ekonomi terbesar dunia.

Dalam laporan suku tahunan utama yang dikeluarkan pada April, IMF sebelum ini mengunjurkan Britain akan mengatasi Jepun pada 2029. Bagaimanapun, unjuran terbaharu meletakkan KDNK Britain pada US$4.4889 trilion menjelang 2027.

Pertumbuhan ekonomi Jepun diunjurkan pada kadar 0.7 peratus bagi 2026 dan 2027, manakala ekonomi India dijangka berkembang tujuh peratus bagi kedua-dua tahun itu berdasarkan tahun kewangannya.

Menurut laporan itu, India kekal antara ekonomi utama yang paling pesat berkembang, didorong permintaan domestik yang berdaya tahan serta aktiviti sektor perkhidmatan yang kukuh.

Ekonomi Britain pula dijangka berkembang 1.3 peratus pada 2026 dan 1.2 peratus pada 2027.

Jepun sebelum ini sekian lama menduduki tangga kedua ekonomi terbesar dunia, namun jatuh ke tangga ketiga pada 2010 susulan pertumbuhan pesat ekonomi China.

Kedudukannya kemudian merosot ke tangga keempat pada 2023 selepas diatasi Jerman.

-- BERNAMA-KYODO