ISTANBUL, 17 Okt (Bernama-Anadolu) -- Panama merekodkan 746 gempa susulan selepas gempa bumi bermagnitud 7.5 melanda negara itu minggu lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan pada Jumaat.
"Berdasarkan teori dan rekod sejarah, gempa susulan akibat gempa bumi sekuat ini boleh berterusan antara satu hingga dua bulan," kata Pengarah Institut Geosains Universiti Panama, Nestor Luque kepada akhbar La Prensa.
Luque berkata gempa bumi itu berlaku pada kedalaman kurang 10 kilometer, dengan tenaga yang dibebaskan terus menyebabkan bongkah tektonik mengalami proses penyesuaian semula.
Bagaimanapun, rekod seismik menunjukkan magnitud gempa susulan semakin berkurangan secara beransur-ansur.
Beliau turut menjelaskan bahawa gempa bumi yang direkodkan di Chiriqui dan Bocas del Toro berpunca daripada sistem sesar berbeza dan tidak semestinya mempunyai kaitan dengan gempa bumi pada 9 Okt.
Sementara itu, penyelidik sedang meneliti laporan mengenai perubahan di sepanjang pesisir pantai Pasifik Panama selepas penduduk mendapati beberapa kawasan berbatu yang sebelum ini ditenggelami air kini terdedah, selain air laut kelihatan semakin surut di beberapa lokasi.
Luque menjelaskan bahawa pergerakan sesar boleh menyebabkan tanah di kawasan pesisir pantai mengalami kenaikan atau penurunan, sekali gus mengubah bentuk permukaan bumi.
Menurut beliau, pakar geologi akan menjalankan pemeriksaan di kawasan terjejas bagi menentukan sama ada perubahan yang dilaporkan itu berpunca daripada pergerakan sesar.
Penyelidik turut menyiasat laporan mengenai perubahan warna air laut, termasuk yang kelihatan bertukar menjadi kelabu.
Luque berkata perubahan itu mungkin berlaku apabila air bawah tanah bersentuhan dengan mineral yang terbebas akibat gempa bumi, namun ujian kimia diperlukan bagi mengenal pasti punca sebenar.
Di Isla Canas, wilayah Los Santos di selatan Panama, penduduk melaporkan pulau berkenaan kelihatan seolah-olah terbelah selepas gempa bumi itu.
Luque berkata pakar geologi akan menyiasat sama ada rekahan terbentuk merentasi pulau berkenaan hingga ke laut, yang boleh menjadi petunjuk berlakunya pergerakan sesar.
-- BERNAMA-ANADOLU