Am 17/10/2026 11:28 AM

Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah Tawar Peluang Kepada Artis Malaysia Kembang Bakat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah Tawar Peluang  Kepada Artis Malaysia Kembang Bakat

Oleh Norhidayyu Zainal

PETALING JAYA, 17 Okt (Bernama) -- Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC) menyediakan peluang kepada penggiat seni Malaysia untuk mengembangkan bakat menerusi kemudahan bertaraf dunia serta kerjasama dengan artis antarabangsa.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata pusat yang dibangunkan dengan pelaburan lebih RM200 juta di Sunway Square itu bertujuan menjadi platform bagi penggiat seni membina kerjaya yang bermakna, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif.

“Pelaburan kami dalam JCPAC mencerminkan keyakinan bahawa kecemerlangan dalam seni persembahan wajar diberikan komitmen, sumber dan peluang yang sama seperti yang kami sediakan untuk pendidikan dan penyelidikan.

“Saya amat percaya bahawa penggiat seni Malaysia berhak mendapat peluang untuk belajar dan mengasah bakat di pentas terbaik. Dengan sokongan, kemudahan dan galakan yang sewajarnya, mereka boleh mencipta kejayaan yang tiada hadnya,” katanya, berucap pada majlis pelancaran JCPAC, di sini malam tadi.

Maju Johor

Majlis pelancaran itu menampilkan persembahan Brand New Day: A Symphonic Broadway Celebration yang membariskan 22 penyanyi, lapan penari dan Orkestra Festival TUTAN yang dianggotai 73 pemuzik, di bawah arahan Kevin Fiel, dengan lagu-lagu daripada muzikal terkenal seperti Les Misérables, The Phantom of the Opera, Miss Saigon, Wicked dan Dreamgirls.

Cheah berharap JCPAC dapat menjalin hubungan erat dengan organisasi seni persembahan terkemuka di seluruh dunia, sekali gus membuka peluang kepada penggiat seni dan profesional kreatif tempatan untuk menimba ilmu, bertukar-tukar idea serta meluaskan perspektif.

“Kita mempunyai kekayaan seni dan budaya yang boleh diketengahkan di persada antarabangsa, dan penggiat seni kita wajar diberikan peluang seluas-luasnya untuk memperkenalkan bakat serta karya mereka kepada dunia, dan seterusnya dihargai,” katanya.

Beliau berkata kejayaan JCPAC tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah persembahan yang dianjurkan sahaja, tetapi melalui peluang yang diwujudkan untuk golongan muda meneroka bakat masing-masing, penggiat seni mengembangkan kerjaya dalam bidang pilihan mereka serta masyarakat berkumpul dan menikmati seni.

Maju Johor

Beliau berkata idea penubuhan JCPAC yang merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu Sunway Square bernilai RM1.8 bilion, mula diterokai pada 2018 bagi memperkaya pengalaman pendidikan di Universiti Sunway, selain memenuhi keperluan masyarakat sekitar Sunway City.

Menurut Cheah, pendekatan pendidikan holistik perlu memberikan penekanan yang seimbang terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta seni dan kemanusiaan.

“Teknologi mungkin mengubah cara kita hidup dan bekerja, tetapi teknologi tidak akan dapat menggantikan kebijaksanaan dan hubungan sesama manusia yang dipupuk melalui seni. Seni dan budaya mesti kekal sebagai teras ekosistem pendidikan kita, yang saya percaya tidak dapat digantikan oleh mana-mana teknologi ataupun kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Berkenaan pembangunan pusat itu, Cheah berkata reka bentuknya mendapat inspirasi daripada landskap perlombongan bijih timah yang menjadi asas pembangunan Sunway City, dengan kira-kira RM30 juta diperuntukkan bagi sistem bunyi dan teknologi akustik.

Grand Theatre yang mampu menampung 1,200 penonton dilengkapi pemasangan gabungan pertama di Malaysia bagi sistem bunyi imersif L-Acoustics L-ISA dan teknologi akustik aktif Ambiance. Kemudahan itu membolehkan akustik dewan disesuaikan untuk persembahan muzik orkestra, teater muzikal dan drama pentas tanpa perlu mengubah suai struktur fizikal bangunannya.

Maju Johor

JCPAC turut menempatkan The Studio yang mampu memuatkan hingga 150 orang, dilengkapi pentas mudah alih dan susunan tempat duduk yang boleh diubah suai bagi memenuhi keperluan persembahan berskala kecil, karya eksperimental serta program pendidikan.

Berkongsi pengalaman peribadinya dalam bidang muzik, Cheah mendedahkan beliau merupakan pemain dram The Ambassadors, kumpulan muzik yang ditubuhkannya bersama-sama dengan  rakan-rakan pelajar Malaysia di Melbourne, Australia pada 1960-an. Kumpulan itu pernah mengiringi penyanyi muda Olivia Newton-John dalam satu persembahan di St Kilda Town Hall.

“Walaupun akhirnya saya memilih kerjaya dalam bidang perniagaan dan bukannya muzik, pengalaman pada tahun-tahun itu menyemai penghargaan mendalam terhadap seni yang kekal hingga kini,” katanya.

Dalam tempoh tiga bulan akan datang hingga Januari 2027, JCPAC bakal menyaksikan persembahan antaranya Puteri Gunung Ledang The Musical mulai 31 Okt; The Butterfly Lovers The Musical terbitan Dama Asia pada November; serta Charlie and the Chocolate Factory the Musical dari 22 Dis hingga 10 Jan 2027.

-- BERNAMA