Am 17/10/2026 09:40 AM

Hilang Tangan Kanan Ketika Cari Rezeki, Bantuan PERKESO Jadi Talian Hayat Keluarga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hilang Tangan Kanan Ketika Cari Rezeki, Bantuan PERKESO Jadi Talian Hayat Keluarga
Muhamad Aidi Ilham Mohd Sakri putus tangan kanan hingga paras lengan selepas tersangkut pada mesin pemprosesan kayu ketika bekerja di sebuah kilang di Batu Karang, Pasir Mas.

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

PASIR MAS, 17 Okt (Bernama) -- Kehilangan tangan kanan akibat kemalangan ketika bekerja bukan sahaja mengubah kehidupan Muhamad Aidi Ilham Mohd Sakri, 31, malah turut menjejaskan kehidupan isteri dan tiga anaknya yang masih kecil apabila dia tidak lagi mampu mencari rezeki seperti dahulu.

Sejak kemalangan pada 26 Jun lepas, keluarganya bergantung pada bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak kira-kira RM1,200 sebulan, bergantung pada tempoh sijil cuti sakit yang dikemukakan, bagi menampung keperluan harian sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

Mengimbas kejadian itu, Aidi Ilham berkata kemalangan berlaku kira-kira 8 pagi ketika dia membersihkan mesin pemprosesan kayu di sebuah kilang di Batu Karang, di sini, sebelum tangan kanannya tersangkut pada mesin ketika dia cuba mengeluarkan sisa habuk.

“Semuanya berlaku terlalu cepat. Saya tidak sangka hari itu menjadi hari terakhir saya dapat menggunakan tangan kanan seperti biasa,” katanya kepada Bernama di kediamannya di Kampung Chasi, Tok Uban, di sini, baru-baru ini.

Beliau menerima rawatan di Hospital Tanah Merah selama lima hari sebelum dibenarkan pulang. Namun, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas kehilangan anggota badan berkenaan.

Bapa kepada tiga anak berusia antara setahun lapan bulan hingga lima tahun itu berkata sebelum kemalangan, dia memperoleh pendapatan kira-kira RM500 seminggu, tetapi kini tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.

Keadaan itu turut memberi tekanan kepada kewangan keluarga, lebih-lebih lagi isterinya, Nur Syafawati Roslan, 29, merupakan suri rumah sepenuh masa, manakala tiga anak mereka masih kecil dan memerlukan perbelanjaan harian.

“Anak-anak masih kecil dan semuanya memerlukan perbelanjaan. Kalau sebelum ini saya boleh bekerja untuk menampung keluarga, sekarang semuanya berubah. Alhamdulillah, bantuan PERKESO banyak membantu kami membeli barang dapur, memenuhi keperluan anak-anak dan membayar sewa rumah,” katanya.

Menurut Aidi Ilham, perbelanjaan keluarga mencecah kira-kira RM800 sebulan, tidak termasuk komitmen lain, manakala rumah yang didiami mereka disewa pada kadar RM100 sebulan. Walaupun bayaran HUS tidak menyamai pendapatan terdahulu, bantuan itu membolehkannya meneruskan kehidupan bersama keluarga sementara dia belum mampu kembali bekerja.

Beliau berkata dia masih menjalani rawatan susulan, termasuk pemeriksaan pakar tulang, selain mengikuti sesi fisioterapi sebulan sekali di Hospital Lati bagi membantu proses pemulihan.

Aidi Ilham juga sedang menunggu proses mendapatkan tangan palsu yang disediakan PERKESO bagi membantunya menguruskan keperluan harian dan menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas kemalangan.

Walaupun berdepan dengan perubahan besar, beliau berharap dapat kembali bekerja apabila keadaan mengizinkan demi memastikan kebajikan isteri dan anak-anak terus terpelihara.

“Saya memang mahu bekerja semula kerana anak-anak masih kecil dan banyak tanggungjawab perlu dipikul. Buat masa ini, bantuan PERKESO banyak meringankan beban keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Kelantan Wan Izani Wan Isa berkata sebanyak RM5.32 juta dibayar menerusi HUS bagi 913 kes kemalangan bencana kerja di Kelantan, melibatkan kawasan Kota Bharu dan Kuala Krai, dari Januari hingga September tahun ini.

Beliau berkata dalam tempoh sama, sebanyak 174 kes kemalangan bukan bencana kerja direkodkan dengan jumlah bayaran HUS sebanyak RM191,094.22.

Wan Izani berkata pembayaran berkenaan mencerminkan kepentingan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang mengalami kecederaan sehingga menjejaskan keupayaan mereka untuk mencari pendapatan.

Dalam kes Aidi Ilham, bantuan itu membantu keluarganya memenuhi keperluan asas sepanjang tempoh pemulihan sementara beliau berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.

-- BERNAMA