Am 17/10/2026 09:29 AM

Bakat Ada, Peluang Tiada: Cabaran OKU Penglihatan Dalam Industri Kreatif

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bakat Ada, Peluang Tiada: Cabaran OKU Penglihatan Dalam Industri Kreatif

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

Keupayaan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan untuk berkarya dalam industri kreatif masih berdepan halangan, termasuk persepsi terhadap kemampuan mereka.

Meskipun ramai dalam kalangan mereka memiliki bakat besar dalam bidang seni, kekurangan yang dimiliki  golongan ini terus dijadikan ukuran akan kemampuan diri walhal pelbagai kemajuan teknologi kini telah tersedia untuk menyokong mereka berkarya, sepertimana disingkapkan dalam bahagian pertama.

 

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Lebih tiga tahun selepas kehilangan penglihatan, pelakon dan pengarah Muhammad Iqbal Mazlan masih berusaha membina semula kerjayanya dalam industri kreatif, namun peluang untuk kembali berkarya tidak semudah dahulu.

Iqbal, 37, yang menjuarai program realiti lakonan drama pentas dan teater Pilih Kasih musim pertama pada 2009, pernah membintangi pelbagai drama, telefilem dan teater, selain bekerjasama dengan pengarah terkenal Erma Fatima.

Bagaimanapun, perjalanan seninya berubah pada Mac 2023 apabila beliau kehilangan penglihatan akibat Frosted branch angiitis, penyakit yang menurutnya berpunca daripada jangkitan Cytomegalovirus (CMV).

“Saya sebenarnya cukup sihat, tidak ada sebarang simptom pelik. Cumanya, malam sebelum kejadian itu berlaku, saya ada rasa letih dan perit mata melampau ketika sedang menyiapkan skrip sebuah dokumentari dan rehat sebentar.

“Tetapi apabila sedar, dunia gelap-gelita. Sukar saya bayangkan kehidupan selepas itu kerana anugerah yang ada digunakan untuk mencari rezeki, akhirnya sudah tiada,” katanya kepada Bernama.

Maju Johor

Iqbal mengambil masa lebih setahun untuk bangkit selepas kehilangan penglihatan, selain menjalani rawatan keradangan mata dan berdepan komplikasi paru-paru berair yang menurutnya berpunca daripada kesan sampingan ubat prednisolon.

Namun, cabaran lebih besar menanti apabila beliau cuba kembali bekerja dalam industri kreatif dan seperti dijangka beberapa syarikat produksi yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini tidak lagi memberikan maklum balas apabila beliau menawarkan khidmat sebagai pengarah, pengacara dan pengisi suara latar.

“Banyak produksi pernah bekerjasama dan puji hasil kerja, tiba-tiba senyap bila saya sakit. Paling menyakitkan, apabila rakan industri mula menghilangkan diri. Ada satu penolakan paling saya ingat, mereka beritahu secara terang-terangan, ‘We don't have any confidence in you’. Yang lain, semuanya senyap,” katanya.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, beliau kini mengusahakan perniagaan nasi ayam buttermilk dan gulai kawah di Shah Alam bersama-sama dengan seorang rakan.

Peluang kembali berkarya hadir apabila syarikat produksi Art Ornament Sdn Bhd memberinya kepercayaan mengarahkan filem Jay (Buka Langkah) pada Jun 2024, yang dijangka ditayangkan pada Januari 2027.

Maju Johor

Iqbal berkata kehilangan penglihatan tidak menghalangnya membayangkan visual babak dan memberikan arahan terperinci kepada jurukamera bagi merealisasikan gambaran yang dikehendakinya.

“Walaupun saya tidak nampak, saya wajib ada visual yang jelas untuk menghidupkan skrip dengan membayangkan seolah-olah sedang menonton wayang di pawagam. Saya akan beritahu jurukamera secara terperinci akan visual dan syot yang hendak dihasilkan.

“Misalnya, dari arah mana pelakon perlu melangkah berserta bunyian yang ada. Jika pengarah tiada visualisasi, karya akan jadi hambar,” katanya.

Penerbit filem berkenaan Aida Othman yang turut bertindak sebagai pengarah bersama, berkata peluang diberikan kepada Iqbal berdasarkan keupayaannya, dengan sokongan kru bagi melengkapkan aspek teknikal sepanjang penggambaran.

“Kita tidak sepatutnya melihat mereka berdasarkan kekurangan. Sebaliknya, apa yang mereka mampu lakukan. Kekuatan Iqbal ialah penerangannya yang sangat jelas mengenai karakter, emosi dan apa yang mahu disampaikan kepada penonton. Keputusan kami memberi peluang kepadanya kerana yakin dengan kemampuannya,” katanya.

Maju Johor

Pengalaman Iqbal menunjukkan OKU penglihatan mampu terus berkarya dengan sokongan yang bersesuaian, namun peluang sedemikian masih menjadi cabaran dalam industri kreatif.

Berdasarkan rekod pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2020 hingga 2026, hanya lima penempatan melibatkan OKU penglihatan dalam sektor kesenian, hiburan dan rekreasi daripada keseluruhan 716 penempatan, iaitu bersamaan kira-kira 0.7 peratus

Walaupun angka itu menunjukkan penempatan yang kecil, data berkenaan tidak menjelaskan faktor yang menyumbang kepada jumlah tersebut.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan setakat Julai tahun ini seramai 70,135 OKU penglihatan berdaftar di seluruh negara, termasuk 37,616 orang berusia antara 16 hingga 60 tahun.

Maju Johor

Cabaran mendapatkan pekerjaan dalam bidang kreatif turut dialami pemuzik dan penggubah muzik Lui Chee Chau, 46, yang masih berusaha mendapatkan pekerjaan tetap meskipun memiliki kelulusan dalam bidang muzik dan pengalaman lebih sedekad dalam industri.

Lui memulakan kerjaya sebagai penggubah muzik dan jurutera bunyi di sebuah studio di Kuala Lumpur pada 2003 sebelum meneruskan kerjaya sepenuh masa selama 14 tahun di sebuah syarikat penyedia kandungan nada dering selepas studio berkenaan ditutup.

Beliau mula berdepan kesukaran mencari pekerjaan sekitar 2016 apabila memohon jawatan jurutera bunyi dan dipanggil menghadiri temu duga tanpa terlebih dahulu memaklumkan statusnya sebagai OKU penglihatan kepada bakal majikan.

“Dia kata apa (hasil kerja) saya buat bagus. Cuma untuk memudahkan saya, kalau ada kerja yang boleh dibuat dari rumah, dia akan panggil,” katanya.

Maju Johor

Lui berkata beliau kemudian memohon kira-kira tiga lagi pekerjaan berkaitan muzik, namun hanya satu permohonan membawanya ke peringkat temu duga sebelum beliau turut tidak terpilih.

Walaupun tiada majikan secara langsung menyatakan keadaan penglihatannya sebagai punca penolakan, pengalaman itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana persepsi terhadap ketidakupayaan mempengaruhi peluang pekerjaan golongan berkenaan.

“Saya rasa itu antara kekangan apabila orang mengehadkan pilihan kita berdasarkan tanggapan tanpa menilai keupayaan sebenar kita,” katanya.

Lui kini mengajar piano dan dram secara sambilan, selain mengajar muzik seminggu sekali di sebuah gereja tempatan.

-- BERNAMA