Am 17/10/2026 08:52 AM

Di Sebalik Pesona Maldives, Jejak Islam Terus Hidup Selepas Sembilan Dekad

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Di Sebalik Pesona Maldives, Jejak Islam Terus Hidup Selepas Sembilan Dekad
Gambar hiasan.

Hasrat untuk sekadar menelusuri hiruk-pikuk kota Male, ibu negara Maldives ini tertangguh seketika di saat mata terpandang sebuah masjid yang begitu unik di tengah-tengah bandar raya itu.

Bentuk binaan tersendiri berdindingkan bongkah batu karang ibarat besi semberani menarik pandangan, sebelum mata terarah pada baris-baris tulisan Arab yang menghiasi tembok, mendorong kaki untuk melangkah masuk, menjengah sejarah yang tersimpan di sebalik dinding Old Friday Mosque ini, atau dalam bahasa tempatan Hukuru Miskiiy.

Umum mengetahui kepulauan Maldives sebagai antara destinasi pelancongan dunia yang masih terpelihara daripada pengkomersialan secara berlebihan, menawarkan biru warna laut dengan air sejernih kristal dan pantai berpasir putih nan halus sebagai antara produk utama ekonominya selain perikanan.

Pun begitu, di sebalik deretan resort mewah yang memenuhi kehendak pelancong dari pelbagai negara, keunikan Maldives, antaranya, terletak pada 100 peratus rakyat beragama Islam kerana perlembagaannya memperuntukkan hanya mereka yang menganuti agama itu boleh menjadi warganegara.

 

SEJARAH TERPAHAT PADA BATU KARANG

Berpeluang menjejakkan kaki di pulau peranginan ini pada pertengahan September lalu bagi membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Maldives, penulis tertarik melihat bagaimana penduduk di kepulauan ini mempertahankan Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Dan, Hukuru Miskiiy menjadi antara cerminan kehidupan harian umat Islam di sini, terutama apabila tiba waktu solat.

Maju Johor
Keunikan Maldives, antaranya, terletak pada 100 peratus rakyat beragama Islam kerana perlembagaannya memperuntukkan hanya mereka yang menganuti agama itu boleh menjadi warganegara.

Terletak berdekatan bangunan pejabat pentadbiran kerajaan dan juga premis komersial, masjid ini menjadi tumpuan kakitangan awam serta masyarakat setempat apabila tiba waktu zuhur dan asar khususnya, yang datang untuk bersolat secara berjemaah.

“Masjid ini mampu menampung lebih 100 jemaah pada satu-satu masa,” kongsi imam masjid Muhammad Haneef dengan penulis.

Bercerita lanjut, Muhammad, 55, memberitahu walaupun Hukuru Miskiiy antara masjid tertua di Maldives, binaan itu bukan masjid pertama yang didirikan di atas tapak tersebut.

Sebaliknya kata beliau, masjid pertama di situ dibina oleh Sultan Muhammad ibn Abdullah pada abad ke-12, tidak lama selepas Maldives menerima Islam pada 1153 Masihi, sebelum dibina semula oleh Sultan Ahmed Shihabuddin pada 1338.

Struktur Hukuru Miskiiy yang dapat dilihat hari ini pula dibina pada 1657 oleh Sultan Ibrahim Iskandar I selepas baginda mendapati masjid sedia ada tidak lagi dapat menampung peningkatan jemaah.

Kekangan sumber semula jadi lain dan ketersediaan batu karang genus Porites di kawasan terumbu karang yang mengelilingi kepulauan berkenaan, disokong kepakaran tukang pada masa itu, menjadikan bongkah batu karang sebagai bahan binaan utama masjid tersebut.   

Selain berdaya tahan terhadap persekitaran air masin dan membolehkan struktur bertahan hingga kini,  penggunaan bongkah batu karang itu juga memberikan nilai estetik tinggi.

Pun begitu, yang membuatkan binaan itu mengagumkan bukan semata-mata usianya atau nilai estetik, tetapi juga kaedah pembinaannya. Dilakukan secara manual, atau kerja tangan tanpa bantuan mesin moden,  batu karang dipotong dengan sangat tepat menggunakan teknik interlocking (pahat tanggam/saling mengunci, seumpama susunan Lego).

Disebabkan oleh tekstur permukaan karang yang kesat dan berliang, blok-blok batu ini dapat mencengkam antara satu sama lain dengan sangat kuat apabila disusun rapat, membolehkan struktur masjid berdiri teguh selama ratusan tahun.

Tidak terhenti setakat itu, ukiran rumit motif geometri berselang-seli dengan corak berjalin serta unsur flora, selain kaligrafi Arab dan tulisan Dhives Akuru (sistem tulisan kuno Maldives), yang dipahat menghiasi dinding masih kelihatan walaupun ada sebahagian telah pudar dimamah usia.

Kesemua itu, menjadikan masjid ini antara bangunan batu karang terbesar dan paling halus buatannya di di dunia.

 

SENI PERTUKANGAN KAYU

Memasuki ruang dalam masjid, pandangan penulis secara spontan terarah ke bahagian atas yang didominasi oleh kayu serta struktur atap bertingkat. 

Kayu cendana merupakan antara bahan utama yang digunakan dalam pertukangan masjid itu, termasuk pada elemen pintu dan tingkap dengan keseluruhan struktur kayunya memperlihatkan kemahiran tinggi tukang tempatan menerusi ukiran halus dan kerja lakuer.

Maju Johor
Tidak terhenti setakat itu, ukiran rumit motif geometri berselang-seli dengan corak berjalin serta unsur flora, selain kaligrafi Arab dan tulisan Dhives Akuru (sistem tulisan kuno Maldives), yang dipahat menghiasi dinding masih kelihatan walaupun ada sebahagian telah pudar dimamah usia.

Kehebatan ketukangan pada masa itu turut dapat dilihat pada pintu dan tingkap yang menggunakan mekanisme gelongsor tanpa roda yang masih berfungsi dengan baik sekalipun sudah berusia hampir empat ratus tahun.

Seperti mana di bahagian luar, dinding dan struktur kayu di dalam masjid ini juga dihiasi lebih banyak kaligrafi Arab dan ayat-ayat al-Quran termasuk pintu dan bingkai pintu bilik/ ruang solat

Laungan azan zuhur membuka peluang untuk penulis berjemaah bersama-sama dengan masyarakat setempat yang turut membongkar satu lagi keunikan masjid tua ini. Arah bangunannya tidak selari dengan arah kiblat, menyebabkan jemaah membentuk saf (barisan) secara menyerong kira-kira 30 darjah, berpandukan garisan penanda arah kiblat di ruang solat.

Difahamkan, tapak asal masjid ini adalah sebuah kuil kerana, sebelum kedatangan Islam Maldives menganut ajaran Buddha.

 

MUNNAARU, MENARA YANG PERNAH MENDOMINASI MALÉ

Berbanding kebanyakan masjid moden di dunia ini yang gah dengan menara dan kubah, Hukuru Miskiiy mempunyai menara dikenali sebagai Munnaaru yang memiliki bentuk tersendiri.

Dibangunkan pada 1675,  binaan batu karang setinggi kira-kira 11 meter (36 kaki tujuh inci) ini pernah menjadi antara struktur paling menonjol di Malé ketika ibu kota berkenaan belum dipenuhi bangunan tinggi seperti hari ini.

Maju Johor
Penulis sempat menjengah sejarah yang tersimpan di sebalik dinding Old Friday Mosque ini, atau dalam bahasa tempatan Hukuru Miskiiy.

Dikatakan pada waktu itu,  keseluruhan pulau Malé dari hujung ke hujung dapat dilihat dari atas menara tersebut. Hari ini, gambaran tersebut sukar dibayangkan kerana, di sebalik kewujudan banyak mercu tanda laungan panggilan solat, Male turut dipenuhi bangunan bertingkat.

Di pekarangan masjid pula terdapat tanah perkuburan yang menempatkan makam pemerintah terdahulu Maldives dan ahli keluarga diraja, termasuk makam Sultan Ibrahim Iskandar I, selain empat perigi lama berusia ratusan tahun.

 

SEMBILAN ABAD ISLAM DI MALDIVES

Jejak Islam di Maldives dapat dilihat di serata tempat.

Sepanjang beberapa hari berada di Malé, penulis mendapati masjid dan musolla (surau kecil) ada di mana-mana, tegak di celah-celah deretan pejabat, kediaman dan bangunan komersial - tidak ubah seperti di tanah air -  sementara ucapan salam ketika bertemu serta alunan bacaan al-Quran yang beberapa kali kedengaran menerusi radio teksi pula memperlihatkan bagaimana unsur agama hadir secara bersahaja dalam kehidupan seharian lebih 500,000 rakyat Maldives.

Menjadi sebuah negara yang 100 peratus rakyat penganut Islam, perjalanan agama suci di Maldives bermula jauh lebih awal daripada pembinaan Hukuru Miskiiy apabila negara itu menerima Islam pada 548 Hijrah bersamaan 1153 Masihi, satu titik perubahan yang kemudiannya membentuk kehidupan masyarakat, budaya dan pemerintahan kepulauan berkenaan.

Maju Johor
Tahun ini juga mempunyai makna tersendiri apabila Maldives memperingati 900 tahun Hijrah sejak menerima Islam.

Lebih sembilan abad kemudian, Islam terus segar dan teguh di negara ini dengan pembentukan generasi baharu pemimpin agama termasuk melahirkan lebih 700 golongan pendakwah muda bagi membantu menangani keperluan imam dan khatib di pulau-pulau yang membentuk Maldives.

Tahun ini juga mempunyai makna tersendiri apabila Maldives memperingati 900 tahun Hijrah sejak menerima Islam, dengan sambutan itu memberi tumpuan antaranya kepada pemeliharaan warisan, pendidikan, penyelidikan dan penglibatan generasi muda.

Dalam majlis rasmi memperingati detik berkenaan baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Islam dan Wakaf Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed menekankan hubungan rapat Maldives dengan seluruh ummah serta negara-negara Islam turut memainkan peranan penting dalam perjalanan republik itu mempertahankan identiti Islamnya.

Bersempena dengan sambutan itu, Presiden Dr Mohamed Muizzu pada 13 Sept, menyempurnakan upacara pecah tanah Sultan Mohamed Bin Abdullah Grand Mosque and Islamic Civilisation Centre di Hulhumalé, yang dirancang menempatkan antaranya masjid, muzium al-Quran, perpustakaan Islam dan ruang pameran perjalanan Islam di Maldives.

 

MALAYSIA-MALDIVES PERLUAS KERJASAMA ISLAM

Ukhuwah Maldives dengan negara-negara Islam lain turut mendapat dimensi baharu hanya beberapa hari kemudian menerusi lawatan rasmi Anwar ke Maldives pada 14 dan 15 Sept yang memberi lembaran baharu dalam hubungan keagamaan dua hala.

Dalam lawatan itu, Anwar dan Muizzu menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Hal Ehwal Islam, membuka ruang kepada Malaysia dan Maldives memperluas kerjasama termasuk dalam pendidikan Islam, industri halal, wakaf, haji, pentadbiran agama serta pembangunan kapasiti.

Anwar ketika mengulas perkara itu, berkata Maldives memberikan perhatian antaranya kepada bidang halal selain kerjasama dalam latihan dan dakwah serta urusan berkaitan wakaf dan haji, dengan pengalaman Malaysia turut boleh dikongsi dalam bidang berkenaan.

Namun di sebalik sejarah, hubungan dua hala dan berita yang dicari sepanjang tugasan ini, kunjungan ke Hukuru Miskiiy meninggalkan sesuatu yang lebih peribadi buat penulis.

Sebagai seorang yang datang ke Maldives atas tuntutan tugas, pengalaman dengan rakyat setempat memberi ruang kepada penulis untuk melihat sesuatu yang dianggap rutin dengan lebih dekat, dan menemukan kembali sisi yang mungkin hilang dibawa kesibukan mengejar berita.