Dunia 17/10/2026 08:30 AM

Kawasan Berhampiran Lapangan Terbang Aden Jadi Sasaran Serangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kawasan Berhampiran Lapangan Terbang Aden Jadi Sasaran Serangan
Sebuah trak yang membawa muatan kayu api melalui kawasan kejiranan Al-Basateen di Aden, Yemen, pada Selasa, 13 Okt 2026. (AP Photo/Abdulnasser Alseddik)

ISTANBUL, 17 Okt (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Penerangan Yaman mendakwa kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aden di selatan negara itu menjadi sasaran serangan kumpulan Houthi pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kumpulan Houthi sekali lagi menyasarkan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aden, berdekatan Kem Badr," menurut kementerian itu menerusi hantaran di platform X.

Secara berasingan, portal berita Yaman, Al-Masdar Online memetik penduduk tempatan sebagai berkata mereka terdengar dua letupan di bandar Aden.

Bagaimanapun, kumpulan Houthi belum memberikan sebarang ulasan berhubung kenyataan kementerian itu.

Laporan mengenai serangan terbaharu itu menyusul sehari selepas Istana Presiden Maashiq di Aden dilaporkan menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik pada Khamis, mengorbankan lima orang dan mencederakan 16 yang lain, menurut Menteri Kesihatan Yemen Qasim Buhaibeh.

Awal bulan ini, tentera kerajaan Yaman melancarkan operasi ketenteraan dikenali sebagai "Dawn of Yemen" bagi merampas semula wilayah yang dikuasai Houthi, termasuk ibu negara, Sanaa.

Pertempuran terbaharu bermula pada Julai lalu, sekali gus menyaksikan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada 2022 tidak lagi bertahan.

-- BERNAMA-ANADOLU